EDARAN Otomobil Nasional Berhad (EON), pengedar pelbagai jenama kereta terbesar di Malaysia dan anak syarikat DRB-HICOM Berhad mengakhiri inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka melalui EON Tech Future Camp 2025.
Program dilaksanakan dengan kerjasama Creative Minds Education itu direka untuk memberi inspirasi dan membangunkan generasi inovator masa depan Malaysia melalui pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) secara interaktif.
Inisiatif berkenaan membawa pembelajaran secara ‘hands-on’ dan cabaran inovasi ke enam sekolah di Selangor dan Negeri Sembilan, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra, SMK Bandar Baru Bangi, SMK Dusun Nanding, Kolej Vokasional (KV) Ampangan, Kolej Vokasional Juasseh dan Kolej Vokasional Port Dickson.
Seramai 360 pelajar menyertai siri bengkel, demonstrasi robotik dan sesi pengekodan ketika program CSR itu.
Tumpuan utama kem adalah Acebott Robotics iaitu platform robotik pendidikan membolehkan pelajar membina dan memprogram robot menggunakan komponen modular serta perisian pengekodan visual.
Ini membolehkan konsep STEM, pengekodan dan kejuruteraan diterjemahkan dengan cara yang menarik dan mesra bilik darjah.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, inisiatif EON Tech Future Camp memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pandangan dan amalan sebenar industri, membantu mereka memahami peranan teknologi dalam industri.
“Ia juga membuka mata mereka kepada pelbagai kemungkinan kerjaya dalam bidang inovasi dan kejuruteraan, sekaligus memperkukuh persediaan mereka untuk sektor pekerjaan masa depan.
“Melalui kem ini, EON menegaskan bahawa pendidikan adalah teras dalam memacu inovasi dan pertumbuhan lestari dalam industri automotif,” katanya.
![]()
Inisiatif ini mencapai kemuncaknya dengan pertandingan akhir di Ibu Pejabat EON di Glenmarie, baru-baru ini.
Ia membuka ruang kepada pelajar mempamerkan kemahiran teknikal dan inovatif mereka dalam tiga kategori iaitu Mission Challenge, Maze AI Challenge, dan Innovation Challenge.
Juara setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, manakala naib juara pertama dan kedua masing-masing menerima RM750 dan RM500 serta sijil penyertaan.
KV Ampangan muncul juara keseluruhann dan meraih tempat pertama dalam semua kategori pertandingan.
Dalam Mission Challenge, SMK Bukit Rahman Putra meraih Naib Juara Pertama manakala KV Juasseh Naib Juara Kedua.
Sementara itu, KV Juasseh menjadi Naib Juara Pertama dan SMK Bukit Rahman Putra Naib Juara Kedua dalam Maze AI Challenge.
Dalam Innovation Challenge pula, SMK Bukit Rahman Putra dan KV Juasseh, masing-masing menduduki Naib Juara Pertama dan Kedua.

























