
Honda mahu memastikan lebih banyak Acura NSX generasi pertama terus kekal di atas jalan raya.
Untuk itu, mereka kini mula menawarkan lebih 3,000 alat ganti reproduksi kepada pemilik di seluruh Amerika Syarikat menerusi program Honda Heritage Parts.
Program tersebut diumumkan awal tahun ini dan mula diperkenalkan terlebih dahulu di Jepun sebelum diperluaskan ke pasaran Amerika Syarikat.
Program Honda Heritage Parts merangkumi dua kategori utama. Pertama ialah Genuine Honda Reproduction Parts, iaitu komponen yang dihasilkan semula menggunakan kaedah serta bahan yang sama seperti alat ganti asal.
Kategori kedua pula dikenali sebagai Honda Compatible Parts, yang melibatkan pembangunan komponen baharu bagi menggantikan alat ganti asal yang sudah tidak lagi dikeluarkan.
Model Honda/Acura NSX generasi pertama (1991-2005) menjadi fokus utama program ini, namun Honda menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan berpotensi diperluaskan kepada model-model klasik lain pada masa akan datang.
Pemilik NSX di Amerika Syarikat kini boleh mendapatkan alat ganti tersebut menerusi rangkaian pengedar Acura dan platform Honda DreamShop.
Lebih 3,000 komponen ditawarkan, sama ada untuk projek restorasi menyeluruh mahupun kerja penyelenggaraan biasa bagi menggantikan komponen yang telah uzur.
Ketersediaan alat ganti bergantung kepada tahun pembuatan, varian, spesifikasi dan jenis transmisi sesebuah NSX.
Sebagai contoh, untuk Acura NSX 1994 transmisi automatik empat kelajuan, Honda menawarkan pelbagai komponen enjin termasuk penyuntik bahan api, badan pendikit, komponen manifold ekzos, penyejuk minyak, alternator, pengapit, penutup kepala silinder, aci sesondol, tali sawat pemasaan dan pelbagai komponen lain.
Perkara sama turut melibatkan sistem transmisi manual dan automatik yang pernah ditawarkan pada NSX.
Antara komponen yang boleh dibeli termasuk perumah transmisi, aci gear, bolt, shift fork dan tuil penukaran gear.
Selain itu, Honda turut menawarkan alat ganti reproduksi untuk sistem ekzos, radiator, penyambung elektrik, lampu hadapan, lampu belakang serta meter instrumen.
Malah, pemilik juga boleh mendapatkan rim, sistem brek dan penyerap hentak yang dihasilkan semula mengikut spesifikasi asal.
Bahagian kabin turut diberi perhatian dengan pelbagai kemasan dalaman yang boleh ditempah terus secara dalam talian atau melalui pengedar Acura. Jika cermin hadapan asal NSX mengalami kerosakan, Honda kini menawarkan penggantian tulen yang baharu.
Komponen penyelenggaraan asas seperti palam pencucuh, bilah pengelap cermin, pam bahan api dan penapis minyak tulen Honda juga tersedia.
Selain pengeluaran semula alat ganti, Honda turut melancarkan Honda Restoration Service awal tahun ini.
Perkhidmatan yang ketika ini hanya ditawarkan di Jepun untuk NSX generasi pertama spesifikasi JDM itu membolehkan pemilik mendapatkan pakej restorasi penuh menggunakan komponen reproduksi yang dihasilkan melalui program Honda Heritage Parts.

































