
Honda Amerika mengesahkan model SUV elektrik Honda Prologue telah pun dihentikan produksinya, menyertai Acura ZDX yang telah ditamatkan tahun lepas.
Ini bermakna, Honda AS kini tidak lagi mempunyai model kenderaan elektrik (EV) untuk ditawarkan kepada pengguna di sana.
Keputusan tersebut dibuat melihatkan kepada permintaan pelanggan yang telah berubah secara signifikan dalam tempoh 18 bulan yang terdahulu.
Namun begitu, jualan bagi model Prologue masih lagi diteruskan berdasarkan kepada stok yang masih wujud dalam inventori.
Menurut laporan Motor1, pemilik Prologue sedia ada akan terus menerima sokongan penuh menerusi jaringan pengedar dari segi servis, alat ganti dan tuntutan jaminan.
Honda Prologue merupakan crossover elektrik saiz pertengahan yang dibangunkan bersama oleh Honda dan General Motors berdasarkan Chevrolet Blazer EV.
Di Amerika, permintaan terhadap EV tidak lagi memberangsangkan disebabkan oleh kredit cukai EV $7,500 (RM31k) yang sudah ditamatkan oleh kerajaan.
Dengan ketiadaan satu pun model EV, Honda kini memfokuskan kepada barisan model hibrid dan kenderaan berenjin pembakaran dalaman yang lebih cekap.
Dalam tempoh dua tahun, Honda merancang untuk memperkenalkan sehingga 15 model yang dipacu oleh sistem hibrid generasi baharu menjelang Mac 2030.


































