
Sebuah sedan plug in hibrid BYD Qin Plus DM-i terbakar selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Lingkar Ketiga Chengdu pada 17 Julai lalu.
Bagaimanapun, kesemua penumpang berjaya menyelamatkan diri sebelum kenderaan tersebut terbakar sepenuhnya.
Menurut laporan media China, Jabatan Polis Trafik Daerah Jinniu menyatakan model Qin Plus DM-i mula terbakar tidak lama selepas perlanggaran berlaku sebelum rentung sepenuhnya. Keadaan trafik terjejas seketika sebelum kembali pulih seperti biasa.
Video insiden berkenaan tular dengan pantas di media sosial, namun pihak berkuasa masih belum mengenalpasti punca sebenar kebakaran tersebut yang mana siasatan masih dijalankan.
Pemandu dan Penumpang Sempat Meloloskan Diri
Portal The Paper melaporkan pemilik kenderaan yang dikenali sebagai He menyatakan dirinya dan penumpang di depan tidak sedarkan diri seketika selepas perlanggaran berlaku.
He memberitahu bahawa beg udara hadapan dan sisi telah terkeluar, namun pintu kenderaan gagal dibuka selepas kemalangan.
Kedua-dua mereka kemudiannya bertindak memanjat keluar menerusi tingkap beberapa detik sebelum api merebak ke seluruh kabin.
Jelasnya, kebakaran bermula tidak lama selepas sebuah kenderaan merempuh dari belakang lalu api mula tercetus dan merebak ke bahagian belakang sedan tersebut.
Laporan awam bagaimanapun tidak memberikan maklumat terperinci mengenai keadaan penumpang dalam dua buah kenderaan lain yang turut terlibat.
Pihak berkuasa trafik masih belum mengeluarkan sebarang maklumat mengenai punca nyalaan api, dan kekal tidak pasti sama ada kebakaran itu melibatkan sistem bahan api, komponen elektrik, atau sistem kenderaan yang lain.



































