Honda akhirnya lancar CR-V e:HEV untuk pasaran Jepun

8

Generasi keenam Honda CR-V membuat debut global pada tahun 2022, namun yang anehnya, SUV tersebut tidak dilancarkan secara rasmi di negara asalnya Jepun.

Setelah tiga tahun berlalu, Honda Jepun akhirnya secara rasmi mengumumkan CR-V untuk negara Matahari Terbit.

Hanya dua varian sahaja ditawarkan untuk pasaran tersebut, iaitu CR-V e:HEV RS dan CR-V e:HEV RS Black Edition.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh sistem e:HEV yang terdiri daripada enjin 2.0 liter, dua motor elektrik, transmisi E-CVT serta pilihan pacuan dua roda depan (FWD) atau pacuan semua roda (AWD).

Varian Black Edition boleh dibezakan dengan kehadiran plastik pelindung badan Crystal Black, rim aloi 19 inci yang lebih senyap, bumbung kaca panorama dan lencana Black Edition.

Tema gelap diteruskan pada ruang kabin, di mana terdapat headliner berwarna hitam dan aksen Piano Black, diikuti dengan bumbung kaca panorama, tempat duduk berventilasi, dan skrin paparan head-up.

Kelengkapan standard untuk kedua-dua varian termasuklah skrin kluster digital 10.2 inci, skrin infohibur 9 inci, sistem audio premium Bose 12 pembesar suara, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, pintu tailgate bebas tangan, pemanas tempat duduk dan kelengkapan ADAS Honda Sensing.

Honda Jepun turut menawarkan beberapa pakej aksesori seperti kit “Tough Premium” yang menambah insert bampar Luna Silver Metallic, skirt sisi yang lebih ranggi, serta spoiler bumbung Crystal Black Pearl.

Pakej “Urban Premium” pula menawarkan komponen yang serupa, namun dengan kemasan yang lebih gelap.

Harga jualan Honda CR-V e:HEV bermula dari ¥5,122,700 (RM135,085) untuk varian RS, manakala varian Black Edition pula bermula dari ¥5,779,400 (RM152,400).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here