
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan pelantikan ejen pemungut telah dilaksanakan sejak tahun 2016 dan tidak melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata setakat 9 Disember sebanyak 10 ejen dilantik.
“Kenyataan yang menggambarkan pelantikan ejen pemungut sebagai penswastaan perkhidmatan JPJ berpunca daripada salah faham berkenaan fungsi ejen pemungut JPJ.
“Ejen-ejen pemungut tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi iaitu aplikasi MyJPJ, MySikap dan Pejabat JPJ yang sedang dan akan terus dikendalikan oleh JPJ.
“Sebaliknya, pelantikan ejen-ejen pemungut JPJ membenarkan perkhidmatan JPJ untuk ditawarkan di saluran tambahan,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.
Tambah beliau, misalnya sesebuah platform insuran kenderaan dilantik sebagai ejen pemungut JPJ, ia membolehkan platform tersebut untuk turut menawarkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) apabila pelanggan membeli insuran kenderaan.
Namun, pengguna masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui LKM secara berasingan dan secara langsung dengan JPJ melalui aplikasi MyJPJ, MySikap atau di Pejabat JPJ.
“Untuk makluman, antara syarikat-syarikat yang telah dilantik sebagai ejen pemungut sebelum ini termasuk POS Malaysia Berhad, PUSPAKOM Sdn Bhd, MyEG Services Sdn Bhd, Konsortium Multimedia Swasta Sdn Bhd, TCSENS Sdn Bhd, serta TNG Sdn Bhd.
“Mana-mana syarikat yang berkelayakan dan ingin menawarkan nilai tambah melalui perkhidmatan JPJ boleh membuat permohonan kepada JPJ.
“Semua permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur selaras dengan kelulusan oleh Kementerian Kewangan (MOF) seperti yang telah dilaksanakan sekian lama,” ujarnya.



























