
Teknologi mobiliti pintar dipilih sebagai fokus utama Proton sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.
Menerusi tema PROTON AHEAD: Intelligence That Connects People, ia akan memperlihatkan hala tuju syarikat dalam membangunkan pengalaman pemanduan lebih pintar, selamat dan terhubung.
Menerusi ruang pameran khas Proton Intelligent Mobility Zone, pengunjung berpeluang melihat lebih dekat pelbagai teknologi baharu termasuk sistem hibrid (HEV), Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), enjin i-GT, Electrical & Electronic Architecture (EEA), Proton Modular Vehicle Cockpit Concept serta Proton IHU Smart Cockpit.
Antara teknologi yang paling mencuri perhatian ialah sistem HEV PROTON menggabungkan Dedicated Hybrid Engine (DHE) dan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) bagi menawarkan pengalaman pemanduan lebih lancar serta cekap penggunaan bahan api.
Sistem ini direka khusus untuk pemanduan harian termasuk trafik bandar yang kerap berhenti dan bergerak.

Sistem itu dilengkapi fungsi EV Mode membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik dalam situasi tertentu.
Selain itu, sistem akan bertukar secara automatik antara EV Mode, Series Mode, Parallel Mode dan Direct Drive mengikut keadaan pemanduan, tahap bateri serta keperluan kuasa semasa.
Enjin hibrid 1.5 liter digunakan menjana kuasa 82 kW (110 hp) dan tork maksimum 136 Nm.
Ia menggunakan nisbah mampatan 14:1 serta direka untuk menggunakan petrol RON95.
Proton berkata, enjin itu mampu mencapai kecekapan terma sehingga 46.5 peratus hasil penggunaan teknologi seperti kitaran Atkinson, water-cooled EGR dan smart cooling electric water pump.
Sistem transmisi hibrid itu juga menggunakan dua motor elektrik, iaitu motor P1 yang membantu menghidupkan enjin dan menjana tenaga, manakala motor P3 bertindak sebagai motor pemanduan utama selain membantu proses pemulihan tenaga ketika nyahpecutan.
Keduanya disokong Power Control Module (PCM) berkecekapan tinggi untuk pengurusan kuasa lebih responsif dan cekap.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir Rashid Musa berkata, teknologi dipamerkan mencerminkan langkah penting syarikat dalam perjalanan menuju mobiliti pintar.
Menurutnya, Proton ingin memastikan teknologi dibangunkan bukan sahaja canggih, malah relevan dengan keadaan pemanduan sebenar rakyat Malaysia.

Selain pameran teknologi, Proton turut membawa barisan model lengkapnya ke KLIMS 2026 termasuk Saga, S70, X50, X70 Sport Edition dan X90.
Penampilan model-model tersebut mencerminkan usaha jenama nasional itu memenuhi pelbagai keperluan pengguna Malaysia.
Turut menjadi tarikan ialah Proton X50 yang diubah suai dengan penampilan lebih sporty dan ekspresif, menyasarkan golongan pelanggan yang mahukan elemen gaya hidup serta personalisasi pada kenderaan mereka.
Pengunjung KLIMS 2026 boleh menyertai sesi pandu uji model terpilih seperti Saga, S70, X50, X70 dan X90 bagi merasai sendiri prestasi, keselesaan serta teknologi ditawarkan.
Selain itu, ruang pameran Proton menampilkan paparan teknologi interaktif, persembahan visual LED 3D, interaksi bersama robot serta pelbagai aktiviti media sosial yang menawarkan ganjaran kepada pengunjung.
Pelanggan yang membuat tempahan kenderaan sepanjang KLIMS 2026 akan menikmati tawaran eksklusif disediakan Proton bersempena acara itu.






























