
Hyundai Motor Malaysia (HMY) rasmi melancarkan IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N pada harga masing-masing RM443,888 dan RM449,888.
Diperkenalkan pada acara KLIMS 2026, Hyundai N ialah sub-jenama berprestasi tinggi Hyundai Motor Company yang dibina berasaskan falsafah tunggal: Never Just Drive.
Lebih daripada sekadar lencana, N berprestasi tinggi merupakan kuasa tulen yang digabungkan dengan teknologi cemerlang, dan direka berdasarkan tiga tonggak asas ‘N Feeling’ melibatkan jaguh selekoh, kereta sukan setiap hari dan keupayaan trek lumba.
Hyundai IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N itu didatangkan dengan Permanent Magnet Synchronous Motor (PMSM) yang menghasilkan kuasa 609PS dan tork 740Nm. Menggunakan fungsi N Grin Boost mampu melonjakkan kuasa sehingga 650 PS dan tork 770Nm. Ia kemudian dipadankan dengan transmisi N e-Shift (sistem EV pertama di dunia yang mensimulasikan rasa transmisi dwi-klac 8-kelajuan).
Bagaimanapun, IONIQ 6 N menawarkan jarak pemanduan yang lebih jauh sehingga 487 km berbanding 448 km bagi IONIQ 5 N. Manakala IONIQ 5 N memiliki kelajuan maksimum 260kmj berbanding 6 N pada 257kmj.
Selain itu, ia turut ditawarkan dengan teknologi mercu N seperti N Active Sound+ (NAS+), N Drift Optimiser, N Grin Boost (NGB), N Torque Distribution(NTD), dan N Launch Control.
Kereta elektrik berprestasi itu dilengkapi dengan bateri litium ion 84kWh yang mana pengecasan pantas DC 350kW membolehkan isian bateri 10-80 peratus dalam masa 18 minit sahaja.
tampil sangat agresif dengan rekaan front air intakes tersendiri untuk sejukkan sistem brek 4-piston, rim aluminium tempa (forged) bersaiz 21 inci, serta spoiler jenis sayap (wing-type spoiler) yang lebih panjang untuk downforce mantap. Manakala IONIQ 6 N pula lebih mementingkan kelincahan aerodinamik melalui rekaan luaran berinspirasikan jentera litar lumba yang menampilkan swan-neck rear wing dan widened fenders, sekaligus mencatatkan pekali heretan sepantas 0.27 Cd dengan padanan rim tempa 20 inci yang lebih ringan.

Melangkah masuk ke ruang kabin, kedua-duanya berkongsi DNA litar yang tebal. Model import (CBU) itu didatangkan dengan kerusi N Bucket premium daripada gabungan Alcantara dan kulit lengkap dengan logo ‘N’.
Roda stereng N leather kedua-dua model ini juga dilengkapi butang merah N Grin Boost serta butang biru mod Drive selain menggunakan pedal sukan yang dioptimumkan untuk mengelakkan kaki tergelincir ketika pemanduan litar.
Perbezaan yang ketara adalah IONIQ 5 N hadir dengan konsol tengah khas yang ditala untuk litar, lengkap dengan pad lutut dan sokongan tulang kering. Manakala IONIQ 6 N menawarkan kelebihan ruang melalui reka bentuk kabin berbentuk kubah yang lebih luas dan selesa.
Sementara itu, bahagian luaran IONIQ 5 N memfokuskan kepada elemen penyejukan prestasi tinggi dengan rongga udara hadapan yang agresif bagi angkup brek 4-piston. Ia juga menggunakan rim sukan 21 inci untuk pemanduan lebih stabil, serta spoiler belakang jenis sayap yang menonjol untuk cengkaman optimum.
IONIQ 6 N pula mengutamakan kecekapan aerodinamik dengan rekaan badan yang menghasilkan pekali seretan hanya 0.27 Cd, dibantu oleh swan-neck rear wing, fender yang lebar, serta rim 20 inci.
Masuk ke kabin kedua-dua model dilengkapi dengan skrin sentuh dan kluster digital bersaiz 12.3-inci bersama sokongan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta kunci digital Hyundai.
Demi ketenangan minda pemilik, kedua-dua model ditawarkan dengan Hyundai SmartSense melibatkan ciri keselamatan seperti Forward Collision-Avoidance Assist dengan Junction Turning; Lane Following Assist; Blind-spot Collision-Avoidance Assist; Rear Cross-traffic Collision-avoidance Assist; bantuan lampu tinggi dan Highway Driving Assist.


































