
Hyundai Motor memperkenalkan Tucson N Line baharu pada Pameran Motor Paris 2026, kurang dua minggu selepas penampilan pertama Tucson generasi kelima.
Varian N Line ini menggabungkan reka bentuk lebih sporti dengan keselesaan, praktikaliti, ciri keselamatan dan teknologi yang ditawarkan pada Tucson baharu.
Tucson ini dilengkapi pakej luaran N Line serta kemasan dalaman berinspirasikan prestasi, tanpa mengubah identiti asas sebagai SUV.
Reka Bentuk Luaran Lebih Sporti
Berbeza daripada model N, Tucson N Line memberi tumpuan kepada penampilan berbanding prestasi mutlak.
SUV ini menerima beberapa elemen khusus yang membezakannya daripada varian standard, termasuk:
- Rim aloi 20 inci dengan reka bentuk eksklusif N Line.
- Bampar hadapan lebih bersudut dengan chin spoiler yang menonjol serta saluran udara di bahagian tepi berkemasan hitam satin.
- Skirt sisi berpenampilan lebih berotot dan kemasan bawah pintu mengikut warna badan.
- Kemasan fender lebih nipis berbanding Tucson standard.
- Perumah cermin sisi dan kemasan tiang C berwarna hitam berkilat.
- Bampar belakang berukir dengan kemasan penyebar udara mengikut warna badan.
- Dua saluran ekzos dengan kemasan terang berpenampilan sporty.
- Lencana N Line pada bahagian hadapan dan fender depan.
Lampu H-Edge dan lampu belakang Prism Rear Lamp turut menjadi sebahagian daripada asas reka bentuk Tucson generasi baharu.
Kabin Hitam dengan Riasan Merah
Ruang dalaman Tucson N Line menggunakan tema hitam monokrom dengan kemasan logam gelap serta riasan merah pada beberapa bahagian.
Antara kelengkapan khusus yang ditawarkan ialah:
- Kerusi sport dengan balutan kulit dan suede tekstil.
- Jahitan merah pada kerusi, pintu dan papan pemuka.
- Stereng N dengan genggaman kulit berlubang, jahitan merah dan sisipan logam gelap.
- Pedal logam dan penyandar kaki dengan kemasan sepadan.
- Kemasan ambang pintu N Line serta penutup pembesar suara berwarna hitam.
Ruang kargo belakang menawarkan kapasiti sehingga 613 liter (VDA).
Kerusi belakang boleh dilipat dalam konfigurasi 4:2:4 dan digerakkan ke hadapan atau belakang sejauh 150 mm.
Untuk kemudahan pengecasan, terdapat pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi 2.0 berkuasa 15W serta dua port USB-C 100W untuk penumpang baris kedua.
Tiga Pilihan Rangkaian Kuasa
Tucson N Line ditawarkan dengan pilihan enjin petrol, hibrid dan hibrid plug-in seperti Tucson generasi baharu.
Enjin dan Prestasi
- 1.6 T-GDi 48V hibrid ringan: 150 PS , dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan serta pacuan roda depan.
- Hibrid 1.6 T-GDi: Kuasa gabungan maksimum 245 PS, menggunakan bateri berkapasiti 1.49 kWj serta transmisi automatik enam kelajuan. Pilihan pacuan roda depan atau semua roda tersedia.
- Hibrid plug-in: Kuasa sistem maksimum 292 PS, dengan bateri 17.1 kWj serta pilihan pacuan roda depan atau semua roda.
Bagi versi hibrid plug-in, jarak pemanduan elektrik mencecah 67 km dengan penggunaan rim 20 inci N Line.
Teknologi dan Kelengkapan
Tucson N Line turut menawarkan pelbagai ciri keselesaan, kemudahan dan teknologi bergantung pada spesifikasi.
Antaranya termasuk tempat duduk pemandu Ergo Motion, kerusi Relaxation Comfort untuk pemandu dan penumpang hadapan.
Lagi kelengkapan seperti sistem penyaman udara Multi-Air Mode serta Remote Smart Parking Assist.
Cermin Digital Center Mirror turut ditawarkan untuk membantu penglihatan ke belakang.
Digital Key 2.0 membolehkan peranti pintar yang serasi digunakan untuk mengakses dan mengendalikan kenderaan.
Sistem maklumat hibur Pleos Connect berasaskan Android Automotive OS dipadankan dengan skrin 17 inci sebagai kelengkapan standard.
Sistem pengecaman suara Gleo AI pula boleh mengakses data internet secara langsung.
Kemas kini perisian melalui udara (over-the-air) membolehkan sistem terpilih dan fungsi maklumat hibur dikemas kini dari jauh.
Pilihan lain termasuk sistem audio premium Bang & Olufsen 12 pembesar suara serta lampu ambien interaktif Smart Mood Lamp.
Ciri Keselamatan dan Bantuan Pemanduan
Pakej keselamatan Tucson N Line merangkumi beberapa sistem bantuan pemanduan, antaranya:
- Bantuan Mengelakkan Pelanggaran Hadapan 2.0
- Bantuan Pemanduan Lebuh Raya 2.0
- Bantuan Mengelakkan Pelanggaran Ketika Parkir
- Pengesanan Kehadiran Kanak-kanak
Model hibrid turut dilengkapi fungsi Stay Mode untuk memberikan pengalaman lebih senyap seperti kenderaan elektrik ketika berhenti.
Teknologi pencahayaan Micro Pixel Lighting (MPL) juga tersedia.
Sistem ini menggunakan 25,600 piksel LED untuk menghasilkan corak pancaran cahaya yang dikawal dengan tepat, selain animasi lampu ketika kenderaan didekati atau ditinggalkan.
Dari segi keupayaan menunda, Tucson N Line hibrid menawarkan kapasiti sehingga 1,910 kg, manakala versi hibrid plug-in mencapai 1,810 kg.
Kedua-duanya turut disokong sistem Trailer Reversing Assist bagi memudahkan pergerakan mengundur ketika menunda.








