
Hyundai Motor Malaysia mengumumkan semakan harga bagi rangkaian SUV Hyundai Tucson di pasaran tempatan sebagai usaha meningkatkan nilai pemilikan serta menjadikan model itu lebih mampu milik.
Berkuat kuasa serta-merta, Tucson varian 1.6T Prime ditawarkan pada harga RM159,800 berbanding RM164,888 sebelum ini.
Bagi varian 1.6T Prestige AWD pula, harga baharu ditetapkan pada RM179,800 berbanding RM186,888, manakala varian Prestige HEV kini berharga RM189,800 berbanding RM197,888 sebelum ini.
Menurut Hyundai Motor Malaysia, langkah tersebut sejajar dengan komitmen syarikat menawarkan mobiliti premium lebih mampu milik tanpa menjejaskan aspek kualiti, keselamatan dan pengalaman pemilikan yang menjadi identiti jenama itu.
Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, Tucson kekal sebagai antara model paling berjaya Hyundai di peringkat global hasil gabungan reka bentuk moden, teknologi keselamatan terkini dan kepraktisan untuk kegunaan harian.
“Semakan harga ini bertujuan memberi lebih nilai kepada pelanggan Malaysia sambil mengekalkan standard produk dan perkhidmatan yang selaras dengan piawaian global Hyundai,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2004, Tucson mencatat jualan melebihi 10 juta unit di seluruh dunia, sekali gus menjadikannya model SUV paling laris dalam portfolio Hyundai.
Walaupun harga baharu diperkenalkan, Hyundai menegaskan semua varian Tucson mengekalkan spesifikasi dan kelengkapan sedia ada, termasuk sistem keselamatan aktif Hyundai SmartSense yang ditawarkan pada ketiga-tiga varian.
Untuk pasaran Malaysia, Tucson hadir dengan dimensi 4,630 milimeter (mm) panjang, 1,865mm lebar dan jarak roda 2,755mm yang menawarkan ruang kabin lebih luas dan selesa.
Ruang but pula menawarkan kapasiti asas 582 liter dan boleh ditingkatkan kepada 1,903 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan.
Ruang kabin menampilkan perubahan besar dengan susunan skrin dwi-panel mendatar, lengkap dengan corong pendingin hawa tersorok serta reka bentuk stereng baharu tiga jejari tanpa logo Hyundai.




