
Pasaran kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen-B kini semakin meriah dengan ketibaan rasmi Hyundai Stargazer yang baru saja dilancarkan ke pasaran tempatan.
Model import (CBU) dari Indonesia itu menawarkan tiga pilihan varian iaitu :
- Style : RM99,800
- Prime : RM109,800
- X : RM121,800
Pihak Hyundai Motor Malaysia turut menawarkan pakej pembeli awal bernilai RM4,600 melibatkan waranti 8-tahun atau perbatuan 160,000km, lapan kali atau 4-tahun servis percuma, fi tempahan RM88 serta ganjaran bagi pemilik Hyundai sedia ada bernilai RM1,000.
Prestasi Enjin Cekap & Berkuasa
Di bawah hud, Stargazer dikuasakan oleh enjin petrol aspirasi semulajadi 1.5 liter Smartstream G 4-silinder yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 115 PS pada 6,300 rpm dan tork puncak 143Nm pada 4,500 rpm.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan (FWD) menerusi transmisi automatik jenis Intelligent Variable Transmission (IVT) yang menjanjikan kelancaran pemanduan optimum serta kecekapan bahan api terbaik untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh. Kapasiti tangki bahan api pula adalah sebanyak 40 liter.
Tiga Varian Memenuhi Citarasa Keluarga
Hyundai menawarkan fleksibiliti ruang kabin yang luas mengikut keperluan pembeli melibatkan:
- Style (7-Kerusi): Varian asas yang dilengkapi lampu utama LED, rim aloi 16-inci, paparan meter kluster 4.2-inci, skrin infotainmen 8-inci serta kemasan kerusi fabrik.
- Prime (7-Kerusi): Menawarkan keselesaan lebih mewah dengan rim aloi 17-inci, gabungan kerusi fabrik dan kulit tiruan, skrin kluster digital penuh 10.25-inci bersama infotainmen 10.25-inci, 6 beg udara, serta lengkap dengan sistem keselamatan aktif Hyundai SmartSense.
- X (6-Kerusi): Tampil gaya lebih sporty ala SUV menerusi kit badan tegap, pelindung over fender, bampar hadapan/belakang unik, spoiler belakang, serta susunan tempat duduk kapten di barisan kedua bagi memberikan keselesaan eksklusif kepada penumpang.
Sementara itu, varian Style dan Prime masing-masing memiliki ukuran panjang 4,575 mm dan lebar 1,780 mm, manakala varian X tampil sedikit tegap dengan panjang 4,610 mm dan lebar 1,820 mm kerana tambahan aksesori.
Ketiga-tiga varian bagaimanapun berkongsi jarak roda sepanjang 2,780 mm yang menjanjikan ruang kaki lebih selesa untuk penumpang di setiap barisan.
Ketinggian kenderaan juga berbeza yang mana varian X berukuran 1,740mm diikuti Prime (1,710mm) dan Style (1,695mm).
Ciri-Ciri Keselamatan Tahap Tinggi

Aspek keselamatan pemandu dan penumpang turut diberi penekanan khusus menerusi penawaran sistem keselamatan moden. Bergantung pada varian, Hyundai Stargazer dilengkapi pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif termasuk:
- Sistem Bantuan Pemandu Pintar Hyundai SmartSense (merangkumi fungsi keselamatan aktif termaju untuk menghindari pelanggaran).
- 6 beg udara bagi perlindungan menyeluruh kabin.
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).
- Bantuan Pemantauan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang
Kehadiran Hyundai Stargazer ke pasaran Malaysia dijangka memberi saingan sengit kepada model-model popular segmennya seperti Mitsubishi Xpander dan Toyota Veloz, sekali gus menjadi pilihan utama institusi keluarga moden yang mementingkan gaya, keselamatan serta keselesaan menyeluruh.




