
Hyundai Motor Malaysia mengumumkan ketibaan kumpulan pertama 300 unit model MPV baharu, Hyundai STARGAZER ke Malaysia menjelang pelancaran rasminya dalam masa terdekat.
Penghantaran awal itu membabitkan ketiga-tiga varian yang bakal ditawarkan iaitu :
- Style
- Prime
- X
Ia sekali gus menandakan fasa akhir persiapan Hyundai sebelum model itu diperkenalkan secara rasmi ke pasaran tempatan.

Menurut Hyundai, STARGAZER dibangunkan sebagai MPV moden untuk kegunaan keluarga dan individu bergaya hidup aktif, direka bagi memenuhi keperluan perjalanan harian, aktiviti hujung minggu serta pelbagai urusan harian dengan lebih praktikal dan selesa.

Model berkenaan menggabungkan reka bentuk luaran moden dengan ruang kabin luas serta pelbagai ciri yang memberi tumpuan kepada keselesaan penumpang, selari dengan usaha Hyundai menawarkan pengalaman mobiliti lebih mesra pengguna.
Sebelum ini, varian Style dan Prime telah dipertontonkan pada Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, manakala varian X versi Indonesia dipamerkan ketika acara jualan Durian Runtuh di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, bulan lalu.
Dengan ketibaan kumpulan pertama itu, pelanggan yang telah membuat tempahan kini semakin hampir menerima kenderaan masing-masing, sementara maklumat lanjut berkaitan spesifikasi, harga dan pakej pemilikan dijangka diumumkan semasa pelancaran rasmi nanti.
































