
Litar Antarabangsa Sepang (sIC) mungkin perlu ditutup sekali lagi bagi kerja penurapan semula susulan maklum balas pelumba mengenai keadaan permukaan litar yang kurang memuaskan pada Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2026, hujung minggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata keputusan sama ada kerja penurapan itu melibatkan keseluruhan litar atau hanya bahagian tertentu akan dibuat selepas pihaknya menerima laporan penuh daripada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan pihak MotoGP.
Beliau berkata kerja penurapan semula dijangka melibatkan kos jutaan ringgit, bergantung kepada skop kerja serta harga bahan bitumen yang digunakan.
“Kalau perlu, kita akan menggunakan sumber kewangan sendiri untuk melaksanakan kerja penurapan semula ini. Bagaimanapun, keputusan sama ada untuk melakukan penurapan penuh atau sebahagian bergantung kepada laporan penuh daripada MotoGP dan FIM.
“Kosnya boleh mencecah jutaan ringgit, bergantung kepada sama ada kita melakukan penurapan penuh atau sebahagian serta harga bitumen semasa,” katanya.

Azhan berkata SIC sebelum ini merancang untuk melakukan penurapan semula ketika litar ditutup pada awal tahun ini, namun berdepan kekangan bekalan agregat susulan konflik di Asia Barat selain peningkatan kos bitumen dan cabaran logistik.
Justeru, pihaknya mengambil pendekatan alternatif dengan melakukan kerja-kerja pengisaran permukaan bagi menangani keadaan litar ketika itu selain kerja penurapan semula sebelum ini pernah dilakukan dari selekoh tujuh hingga selekoh 12.
Beliau berkata sebarang kerja penurapan semula juga perlu mengambil kira jadual penggunaan litar kerana SIC sudah mempunyai tempahan pada Disember dan Januari.
“Permintaan daripada MotoGP dan FIM adalah supaya kerja penurapan semula diselesaikan sebelum ujian rasmi, namun kita perlu berbincang lebih lanjut dengan mereka mengenai pelaksanaannya,” katanya.
Pada kempen MotoGP hujung minggu lepas (30 Oktober – 1 November), SIC menerima beberapa kritikan daripada pelumba mengenai keadaan permukaan SIC yang semakin kurang memuaskan malah ada yang berharap kerja menurap semula litar itu dapat dilakukan.
Rungutan itu disuarakan selepas pelumba mengharungi sesi Latihan Bebas 1 (FPI) pada sebelah pagi dan sesi latihan petang, dengan beberapa bahagian permukaan litar dikatakan semakin rosak serta menjejaskan cengkaman jentera.





























