
Tidak sampai setahun selepas model KLE500 dilancarkan, Kawasaki kini memperkenalkan sebuah lagi model baharu dalam keluarga tersebut, iaitu Kawasaki KLE650.
Berbeza dengan kebanyakan motosikal ADV yang menitikberatkan keupayaan off-road ekstrem, KLE650 dibangunkan sebagai motosikal kelas pertengahan yang lebih menumpukan kepada keselesaan touring jarak jauh dan kegunaan harian.
Jentera ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 649cc sejukan cecair yang sama digunakan pada Ninja 650 dan Versys 650.
Antara pembaharuan yang diberikan termasuk pendikit elektronik (ride-by-wire) serta sistem kemasukan udara dan ekzos yang ditala khas.
Hasilnya, enjin mampu menghasilkan tork optimum pada julat putaran rendah hingga sederhana, selain menawarkan penghantaran kuasa yang lebih lancar pada putaran enjin tinggi menerusi konfigurasi crankshaft 180 darjah.
Walaupun angka kuasa rasmi masih belum diumumkan, prestasinya dijangka hampir sama dengan model 650cc Kawasaki sedia ada, sekitar 67 hp dan 63.7 Nm tork.
Kawasaki turut menyatakan beberapa usaha telah dilakukan bagi mengurangkan berat keseluruhan motosikal, memusatkan jisim serta mengoptimumkan titik graviti demi meningkatkan kestabilan dan pengendalian.
KLE650 dibina berasaskan rangka keluli jenis trellis dan dipadankan dengan fork terbalik (USD) KYB jenis cartridge yang menawarkan jarak pergerakan suspensi 210 mm. Bahagian belakang pula menggunakan sistem suspensi baharu Uni-Trak dengan jarak pergerakan roda 196 mm.
Sistem brek hadapan menggunakan dua cakera 300 mm bersama angkup yang dilengkapi piston 27 mm, manakala brek belakang terdiri daripada cakera 230 mm dan angkup dua piston.
Bagi roda, KLE650 menggunakan kombinasi 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, lengkap dengan rim aluminium serta jejari keluli.
Tayar Dunlop Trailmax Mixtour dipadankan sebagai peralatan standard, manakala tayar tanpa tiub (tubeless) hanya ditawarkan untuk varian lebih tinggi, KLE650 SE.
Versi SE tampil dengan beberapa ciri eksklusif seperti Kawasaki Quick Shifter (KQS), skrin paparan TFT berwarna penuh dan port pengecasan USB Type-C.
Kawasaki turut melengkapkan KLE650 dengan fungsi cruise control serta sistem Kawasaki Traction Control (KTRC).
Ciri touring lain yang turut diberikan secara standard termasuk pelindung tangan, pelindung enjin aluminium dan cermin penghadang angin dengan larasan ketinggian tiga tahap.
Kawasaki KLE650 dijangka mula berada di pusat jualan Amerika Syarikat sekitar Februari 2027.
Harga jualan yang diumumkan adalah:
- KLE650 Standard: US$8,799 (sekitar RM36 ribu)
- KLE650 SE: US$9,999 (sekitar RM41 ribu)
Kawasaki KLE650 ini bakal bersaing dengan model adventure-tourer yang ada di pasaran seperti Suzuki V-Strom 650 dan CFMOTO 650MT.






