Utama Berita Automotif Kawasaki Versys 900 (2027) serba baharu didedah, enjin empat silinder 948cc, lengkap...

Kawasaki Versys 900 (2027) serba baharu didedah, enjin empat silinder 948cc, lengkap radar keselamatan

6

Kawasaki memperkenalkan Versys 900 serba baharu, model adventure tourer pertengahan yang diposisikan di antara Versys 650 dan Versys 1100.

Versys 900 standard ditawarkan dalam pilihan warna hitam dan putih, manakala varian SE hadir dengan kombinasi merah/kelabu serta hijau/hitam.

Ia didatangkan dengan enjin empat siinder sebaris 948cc sejukan cecair yang diambil daripada naked bike Z900.

Enjin tersebut menghasilkan 120hp pada 9,500rpm dan 97.3Nm pada 8,000rpm, dipadankan dengan transmisi enam kelajuan serta quickshifter sebagai kelengkapan standard.

Dari sudut elektronik, motosikal ini dilengkapi pelbagai mod tunggangan, tetapan kuasa yang boleh dilaraskan, sistem kawalan cengkaman (traction control) dan cornering ABS. Kesemua sistem berkenaan dikawal oleh Unit Pengukuran Inersia (IMU) menerusi fungsi Kawasaki Cornering Management Function.

Turut disediakan ialah skrin paparan TFT berwarna lima inci dengan sambungan telefon pintar serta navigasi turn-by-turn.

Menariknya, Versys 900 turut menerima teknologi bantuan tunggangan berasaskan radar termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), amaran perlanggaran hadapan dan sistem pemantauan titik buta belakang.

Suspensi pula terdiri daripada fork terbalik (USD) 43mm di hadapan dan monoshock belakang yang menawarkan pelarasan rebound serta preload.

Motosikal ini dipadankan dengan rim aloi 17 inci di hadapan dan belakang yang dibaluti tayar Metzeler Roadtec 01. Sistem brek menggunakan cakera berkembar di hadapan bersama angkup radial empat piston, disokong oleh fungsi cornering ABS.

Bagi keselesaan tunggangan jarak jauh, Kawasaki turut melengkapkan model ini dengan cermin penghadang angin yang boleh dilaras dalam tujuh kedudukan, manakala ketinggian tempat duduk boleh diubah antara 825mm hingga 845mm.

Untuk varian Versys 900 SE, ia menerima beberapa kelengkapan eksklusif seperti lampu kabus LED, pemanas grip, pelindung tangan, pelindung radiator, penutup bawah enjin, pelindung rangka serta centre stand.

Kedua-dua varian berkongsi enjin, casis, sistem suspensi, brek, paparan TFT dan teknologi keselamatan berasaskan radar yang sama. Kawasaki turut menawarkan aksesori pilihan seperti pannier 32 liter dan top box 47 liter bagi meningkatkan praktikaliti untuk pengembaraan jarak jauh.

Di pasaran United Kingdom, varian standard ditawarkan pada harga £10,899 (sekitar RM59,015), manakala Versys 900 SE pula dijual pada £11,799 (sekitar RM63,889).

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here