
Seorang daripada lima rakyat Malaysia yang ditahan bersama 5kg kokain di Jepun mendakwa dia diberitahu bahawa petugas lapangan terbang sudah menerima bayaran bagi memastikan mereka tidak diperiksa.
Dakwaan itu dilaporkan Fuji News Network (FNN) pada Isnin lalu, yang memetik kenyataan suspek lelaki berusia 24 tahun mengenai cubaan membawa masuk dadah melalui Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
“Saya diberitahu petugas lapangan terbang sudah dibayar, jadi kami tidak akan diperiksa. Sebab itu saya berasa lega,” katanya.
Bagaimanapun, laporan itu tidak menjelaskan lapangan terbang yang dimaksudkan atau mengemukakan pengesahan bahawa sebarang sogokan benar-benar berlaku.
Menurut FNN, lima rakyat Malaysia itu dipercayai menerima tawaran kerana menghadapi masalah kewangan sebelum cuba membawa masuk kokain yang disembunyikan di bawah pelapik kasut.
Kegiatan mereka terbongkar selepas pegawai Kastam Jepun mengesyaki seorang suspek yang memakai kasut bertapak terlalu tebal, sebelum pemeriksaan menemukan dadah berkenaan.
Setiap suspek dipercayai membawa kira-kira 1kg kokain dengan 500 gram disembunyikan di dalam setiap kasut.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan dua lelaki dan tiga wanita rakyat Malaysia ditahan pada 10 Oktober lalu.
Beliau berkata, PDRM akan menghantar pasukan siasatan ke Jepun bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penahanan itu, termasuk kemungkinan kaitan dengan rangkaian sindiket dadah Malaysia dan antarabangsa.




























