Kawasaki Versys 1100 dan Ninja 1100SX SE rasmi lancar, harga mula RM65k

13

Modenas rasmi memperkenalkan Kawasaki Versys 1100 dan Ninja 1100SX SE ke pasaran tempatan pada majlis perasmian pusat 4S Kawasaki Serdang, Sabtu lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata pengenalan dua produk baharu itu melambangkan komitmen berterusan syarikat melalui kerjasama strategik dengan Kawasaki Motors Ltd.

KAWASAKI VERSYS 1100

Jenter adventure touring ini didatangkan dengan tiga pilihan varian iaitu :

  • Kawasaki Versys 1100 Standard: RM65,100
  • Kawasaki Versys 1100 S: RM76,600
  • Kawasaki Versys 1100 SE: RM82,900

Dikuasakan enjin 1,099cc empat silinder sebaris yang telah dinaiktaraf, ia menghasilkan kuasa 135PS @ 9,000rpm dan tork 112 Nm @ 7,600rpm.

Peningkatan sesaran enjin ini memberikan kuasa julat pertengahan yang lebih padu dan output pada rpm tinggi yang lebih baik, sekali gus meningkatkan keseronokan dan keselesaan menunggang di lebuh raya.

Direka untuk kegunaan serba boleh dan keseronokan dalam pelbagai situasi tunggangan, suspensi travel yang panjang menawarkan pengendalian cemerlang di atas pelbagai permukaan jalan.

Ia menampilkan posisi menunggang yang tegak dengan sokongan pelana empuk serta visor angin yang boleh dilaras serta tangki bahan api berkapasiti 21 liter untuk jarak tunggangan lebih jauh. 

Untuk pengalaman kembara yang dipertingkatkan, Versys 1100 menawarkan Sistem Pemasangan Kotak Barangan Clean-Mount yang boleh memuatkan kedua-dua kotak atas dan kotak sisi secara serentak (dengan kapasiti bebanan sehingga 220kg), Kawalan Pelayaran Elektronik daan soket USB jenis-C yang terletak pada bar hendal.

Ciri elektronik canggih yang ditawarkan termasuklah Pakej Elektronik Dipertingkat-IMU (IMU-Enhanced Electronics Package) yang terdiri daripada KCMF, KTRC, dan KIBS serta sistem Kawasaki Quick Shifter (KQS) yang dikemas kini untuk penukaran gear yang lancar, dan Mod Tunggangan Bersepadu (Sport, Road, Rain, Rider).

Versi SE pula menawarkan keselesaan tambahan melalui Kawalan Suspensi Elektronik Kawasaki (KECS) dengan Teknologi Skyhook oleh Showa dan lampu selekoh LED. 

KAWASAKI NINJA 1100SX SE 

Mentakrifkan semula segmen sport touring, Ninja 1100SX SE (2025) dijual pada harga RM79,000. 

Antara ciri peralatan baharu yang ditawarkan termasuklah kemas kini tunggangan lebih sporty menerusi bingkai aluminium bersama komponen casis gaya super sport.

Ia menawarkan posisi tunggangan santai yang kemudian disokong dengan tangki minyak bersaiz 19 liter dan pengecas USB jenis C pada bar hendal.

Ninja 1100SX SE menampilkan sistem Kawasaki Quick Shifter (KQS) yang dipertingkatkan untuk penukaran gear yang lebih lancar pada julat RPM yang lebih luas, Kawalan Pelayaran Elektronik serta visor angin boleh laras.

Penambahbaikan untuk prestasi termasuklah penjimatan bahan api yang lebih baik serta gear ke-5 dan ke-6 yang lebih panjang untuk pelayaran lebih santai di lebuh raya. 

Model SE didatangkan dengan ciri-ciri premium seperti suspensi belakang Öhlins S46 dan komponen brek Brembo untuk pengalaman tunggangan yang lebih unggul.

Teknologi bantuan penunggang termaju merangkumi Pakej Elektronik Dipertingkat-IMU yang terdiri daripada KCMF, KTRC, KIBS, dan Mod Tunggangan Bersepadu (Sport, Road, Rain, Rider).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here