
Modenas meluaskan pasaran ekport ke Indonesia menerusi pelancaran model Modenas Brusky 125 di acara Jakarta Fair 2026 yang berlangsung di Jakarta International Expo (JIExpo), penghujung Jun lalu.
Kemasukan Brusky 125 ke pasaran Indonesia menyusul selepas pengenalan model berkenaan di Filipina pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata pasaran baharu itu merupakan satu langkah signifikan dalam perjalanan eksport serantau bagi syarikat motosikal nasional itu.
“Kemasukan Modenas Brusky 125 yang akan diedarkan oleh PT Kawasaki Motor Indonesia (PT KMI), merupakan satu langkah besar untuk strategi eksport syarikat menerusi perkongsian dengan Kawasaki.
“Sekali lagi, kolaborasi ini telah membuka laluan buat Modenas untuk mendekati pengguna di luar negara, dengan disokong oleh pengetahuan pasaran tempatan, keupayaan pengedaran, serta rangkaian khidmat selepas jualan milik Kawasaki,” katanya.

Bagi pasaran Indonesia, skuter itu ditawarkan dalam pilihan warna Glorious Black yang mana penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula September depan.
Pelancaran tersebut menyusul selepas kejayaan pengenalan Brusky 125 di Filipina dengan lebih 25,000 unit telah dibekalkan melalui Kawasaki Motors Philippines Corporation (KMPC) setakat ini.
Brusky 125 menggunakan enjin 125cc SOHC penyejukkan udara yang menghasilkan kuasa sehingga 7.0kW @ 7,500 rpm dan tork 10.0Nm @ 6,000 rpm.
Pencahayaan pula menggunakan lampu depan dua LED bersama lampu nyala siang (DRL) serta lampu belakang LED. Keselesaan tunggangan diserahkan kepada suspensi depan teleskopik dan monoshock di belakang.
Ia kemudian dipadankan dengan rim aloi 14-inci bersama tayar berukuran 80/90 di depan dan 90/90 di belakang. Antara ciri peralatan yang ditawarkan termasuklah hendal lebih lebar, pemijak kaki anti gelincir, pemegang tangan penumpang belakang dan soket kuasa USB serta ruang simpanan di bahagian depan.
Pesaing kepada Honda Vario itu dijual pada harga IDR 26.5 juta (RM6,045).




