Utama Berita Automotif Toyota lancar Siri Jelajah Pickleball Toyota Malaysia 2026

Toyota lancar Siri Jelajah Pickleball Toyota Malaysia 2026

8

UMW Toyota Motor memperluas penglibatannya dalam sukan komuniti dengan melancarkan Toyota Malaysia Pickle Tour 2026, siri jelajah sukan pickleball kebangsaan yang bakal berlangsung di lima lokasi terpilih di seluruh Malaysia.

Merentasi kawasan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, jelajah ini bertujuan untuk menghimpunkan pemain daripada pelbagai lapisan umur, sekali gus mempromosikan antara sukan paling cepat berkembang di negara ini.

Siri jelajah lima hentian yang menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM175,000 ini akan mengunjungi Kuching, Kota Kinabalu, Johor Bahru, George Town dan Subang Jaya.

Ia membuka peluang kepada peserta daripada pelbagai wilayah untuk bertanding dan berinteraksi dengan komuniti pickleball dengan lebih terbuka.

Membawa tema Solo Entry. Team Glory, kejohanan ini memperkenalkan format unik di mana peserta mendaftar secara individu sebelum diundi masuk ke dalam pasukan masing-masing oleh pihak penganjur.

Pendekatan ini bertujuan menggalakkan pemain membina kenalan baharu dan bekerjasama demi mencapai matlamat yang sama, sekali gus memberikan dinamika segar kepada pertandingan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen syarikat menjadikan pelbagai pengalaman lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia melalui sukan dan aktiviti kemasyarakatan.

Dengan membawa acara ini ke pelbagai wilayah, Toyota berharap dapat menjangkau audiens lebih besar dan menggalakkan penyertaan daripada pemain berpengalaman mahupun pendatang baharu.

Populariti sukan pickleball dilihat kian meningkat di Malaysia ekoran peraturannya yang mudah difahami, sifatnya yang santai, serta kesesuaiannya untuk pemain daripada pelbagai tahap kemahiran.

Menerusi jelajah ini, Toyota berhasrat untuk menyokong momentum berkenaan di samping mewujudkan persekitaran yang menggalakkan gaya hidup aktif, persaingan sihat dan interaksi sosial.

Toyota Malaysia Pickle Tour 2026 dijadualkan berlangsung di lokasi-lokasi berikut:

  • STAR Pickleball, Kuching – 1 hingga 2 Ogos 2026
  • Pickleground, Kota Kinabalu – 15 hingga 16 Ogos 2026
  • Play!, Johor Bahru – 5 hingga 6 September 2026
  • Pickle By the Sea, George Town – 19 hingga 20 September 2026
  • PLAYA Racquet Club, Subang Jaya – 26 hingga 27 September 2026

Selain perlawanan kompetitif, siri jelajah ini turut menyediakan sesi open play dan klinik pengenalan sukan tersebut.

Aktiviti-aktiviti ini dirancang khusus untuk pemula, seisi keluarga dan sesiapa sahaja yang berminat untuk mengenali sukan ini dengan lebih mendalam dalam suasana santai.

Di setiap hentian jelajah, 10 pasukan terbaik bakal menerima hadiah wang tunai serta pingat.

Juara akan membawa pulang RM10,000 berserta pingat emas, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan meraih RM8,000 dan RM6,000.

Hadiah saguhati juga akan diberikan sehingga ke tempat ke-10 bagi memastikan pelbagai lapisan peserta mendapat pengiktirafan atas penyertaan mereka.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here