Utama Berita Automotif Kawasaki KLX300 XPL diperkenalkan, model “ADV-Lite” baharu dengan lebih keselesaan dan praktikaliti

Kawasaki KLX300 XPL diperkenalkan, model “ADV-Lite” baharu dengan lebih keselesaan dan praktikaliti

7

Kawasaki mengembangkan lagi barisan motosikal dwi-fungsi berkapasiti kecil bagi model tahun 2027 menerusi pengenalan KLX300 XPL, varian baharu berkonsepkan “ADV-Lite” yang dibangunkan berasaskan platform KLX300.

Model ini hadir dengan pelbagai ciri tambahan yang memfokuskan aspek keselesaan dan praktikaliti untuk penunggang yang lebih kerap menempuh perjalanan berturap sebelum memasuki laluan lasak.

KLX300 XPL menyertai barisan model KLX300 sedia ada, termasuk KLX300SM yang berorientasikan supermoto serta KLX300 DF yang tampil dengan karakter lebih lasak.

Platform KLX300 sememangnya dikenali sebagai sebuah motosikal dual-sport yang mudah dikendalikan hasil nisbah gear lebih tinggi serta penggunaan sistem pengimbang (balancer) pacuan gear yang telah dipertingkatkan. Bagi tahun 2027, Kawasaki terus menambah baik pakej tersebut dengan peningkatan kuasa serta lebih banyak kelengkapan untuk menyokong tunggangan jarak jauh.

Berbanding KLX300 standard, KLX300 XPL menerima beberapa penambahbaikan khusus yang meningkatkan keselesaan dan kepraktisan:

  • Cermin penghadang angin tinggi dan lutsinar bagi mengurangkan hembusan angin ke bahagian dada dan muka.
  • Pelindung tangan yang membantu mengurangkan pendedahan angin serta melindungi tuil brek dan klac.
  • Lampu utama LED bulat dengan ruang lampu rendah dan tinggi berasingan serta rekaan berinspirasikan model klasik.
  • Rak belakang lengkap dengan cangkuk pengikat untuk membawa bagasi atau kelengkapan perjalanan.
  • Grafik bercorak berus yang mengambil inspirasi daripada motosikal motocross KX era 1980-an dan 1990-an.

Menurut Kawasaki, model ini menggabungkan karakter motosikal klasik dengan fungsi moden, sambil mengekalkan casis KLX300 yang ringan dan lincah.

Bagi tahun 2027, enjin satu silinder 292cc DOHC menerima penambahbaikan penting menerusi penggunaan galas biasa (plain bearing) pada bahagian hujung besar rod penyambung, menggantikan galas jarum yang digunakan sebelum ini.

Perubahan tersebut membantu mengurangkan geseran serta meningkatkan ketahanan enjin, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kuasa.

Selain itu, Kawasaki turut mengambil profil aci sesondol daripada model off-road KLX300R, sambil mengekalkan piston ringan, pin piston ringan dan salutan silinder Electrofusion bagi memastikan respons pendikit yang pantas.

Hasilnya, kuasa maksimum kini meningkat kepada 26.8 hp pada 8,000 rpm berbanding 25.0 hp sebelum ini, manakala tork meningkat kepada 24.9 Nm pada 6,800 rpm, berbanding 24.0 Nm sebelum ini.

Sistem gear-driven balancer, talaan pencucuhan yang dioptimumkan dan nisbah gear lebih tinggi turut membantu mengurangkan getaran ketika menunggang pada kelajuan lebuh raya, menjadikan KLX300 XPL lebih selesa untuk perjalanan jauh.

Dari sudut kejuruteraan, KLX300 XPL masih menggunakan rangka perimeter keluli tegangan tinggi yang sama seperti model standard.

Ia dipadankan dengan:

  • Fork terbalik (USD) berdiameter 43 mm di hadapan
  • Penyerap hentak belakang Uni-Trak boleh laras sepenuhnya
  • Jarak gerakan suspensi hadapan 254 mm
  • Jarak gerakan suspensi belakang 231 mm

Model ini juga menggunakan rim bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dipadankan dengan tayar dwi-kegunaan Dunlop D605.

Buat pertama kali di Amerika Syarikat, Kawasaki memperkenalkan sistem ABS roda hadapan kepada seluruh rangkaian KLX300.

Bagi model dual-sport, sistem tersebut boleh dinyahaktifkan menerusi suis pada bahagian kiri hendal ketika tunggangan off-road.

Bagi menempatkan komponen ABS baharu, Kawasaki memindahkan sistem tersebut ke bahagian kanan motosikal yang menyebabkan radiator kanan digugurkan. Sebagai gantinya, motosikal ini menggunakan sebuah radiator tunggal yang lebih besar di sebelah kiri tanpa menjejaskan prestasi penyejukan.

Kawasaki turut memperkenalkan tuil brek dan tuil klac jenis pendek bagi memberikan kawalan yang lebih baik.

Semua model KLX300 kini menerima panel meter LCD digital baharu yang lebih kompak dengan paparan:

  • Kelajuan
  • Odometer
  • Dua trip meter
  • Penggunaan bahan api semasa dan purata
  • Jam digital
  • Voltan bateri
  • Peringatan servis
  • Indikator Bluetooth
  • Notifikasi panggilan dan e-mel

Sambungan telefon pintar menerusi aplikasi RIDEOLOGY THE APP MOTORCYCLE turut disediakan, membolehkan pengguna merekod laluan tunggangan, memantau jadual penyelenggaraan, menggunakan fungsi navigasi serta berkongsi log perjalanan dengan pengguna lain.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here