Utama Berita Automotif Nissan X-Trail e-POWER x e-4ORCE buat penampilan sulung di KLHALF Marathon 2026

Nissan X-Trail e-POWER x e-4ORCE buat penampilan sulung di KLHALF Marathon 2026

1

Nissan X-Trail e-POWER x e-4ORCE serba baharu membuat penampilan sulung di jalan raya Malaysia sebagai Kereta Pendahulu Rasmi KLHALF Marathon 2026.

Penampilan istimewa itu memberi peluang eksklusif kepada rakyat Malaysia menyaksikan sendiri SUV elektrifikasi terbaharu Nissan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Menerajui ribuan pelari merentasi jalan raya Kuala Lumpur, model berkenaan diamanahkan menetapkan rentak dalam salah satu acara larian terkemuka negara.

Peranan itu selari dengan keupayaan SUV berkenaan yang menggabungkan prestasi responsif, kawalan pemanduan mantap serta sistem pacuan semua roda canggih menerusi teknologi e-POWER dan e-4ORCE.

Naib Presiden Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Christopher Tan berkata, kerjasama itu bukan sekadar penajaan, tetapi gandingan semula jadi antara acara yang meraikan kecemerlangan prestasi dengan kenderaan yang direka untuk memberikan prestasi sedemikian.

“Sebagai kenderaan yang menerajui barisan pelari terpantas di sepanjang laluan perlumbaan, Nissan X-Trail e-POWER x e-4ORCE serba baharu ini mencerminkan ciri-ciri unggul yang sama, iaitu daya tahan, ketepatan dan kestabilan.

“Penampilannya di KLHALF menandakan satu pencapaian penting buat Nissan di Malaysia, sekali gus memberikan gambaran awal tentang lembaran baharu yang lebih mengujakan dalam perjalanan kami ke arah mobiliti elektrifikasi,” katanya.

Nissan e-4ORCE adalah teknologi Pacuan Semua Roda Pintar termaju Nissan yang direka untuk meningkatkan cengkaman, kestabilan dan keselesaan pemanduan.

Beroperasi bersama sistem e-POWER, dua motor elektrik menguruskan pengagihan kuasa dan daya brek pada keempat-empat roda secara bebas, sekali gus memberikan tindak balas serta kawalan luar biasa dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Berbeza dengan sistem pacuan semua roda mekanikal konvensional, e-4ORCE menggunakan motor elektrik untuk mengawal tork dan daya brek dengan tepat, sepantas 1/10,000 saat, bagi pengalaman pemanduan lebih lancar, stabil dan meyakinkan.

KLHALF Marathon 2026 menjadi pentas penampilan sulung model berkenaan di jalan raya Malaysia, sekali gus mempamerkan semangat di sebalik pembangunannya iaitu prestasi, kawalan dan keyakinan untuk memimpin dari barisan hadapan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here