Utama Berita Automotif PDRM uji Nissan KICKS e-POWER untuk operasi barisan hadapan

PDRM uji Nissan KICKS e-POWER untuk operasi barisan hadapan

7

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, pengedar rasmi kereta Nissan di Malaysia menyerahkan 2 unit Nissan KICKS e-POWER kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk program penilaian Proof of Concept (PoC) selama dua bulan tanpa sebarang obligasi.

Dua jentera ini akan menjalani penilaian rondaan dalam situasi sebenar bagi menguji prestasi, praktikaliti dan kesesuaiannya untuk operasi barisan hadapan.

Ujian ini bertujuan melihat bagaimana teknologi elektrifikasi mampu menyokong keperluan mobiliti PDRM dalam situasi kerja sebenar.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Komisioner Polis Redzuan Abd Hamid berkata, program PoC ini membolehkan pihaknya menilai secara langsung keupayaan Nissan KICKS e-POWER.

“Penemuan daripada program ini akan membantu usaha berterusan kami mengenal pasti penyelesaian mobiliti yang terbaik untuk menyokong keperluan operasi PDRM,” ujarnya.

Naib Presiden Eksekutif ETCM, Christopher Tan berkata, Nissan e-POWER dibangunkan bagi menjadikan pemanduan elektrifikasi lebih mudah diakses.

“Ia menawarkan pengalaman pemanduan seperti EV tanpa perlu mengecas dan tanpa kebimbangan jarak.

“Melalui program penilaian ini, kami menantikan bagaimana Nissan KICKS e-POWER dapat menyokong pelbagai aplikasi kenderaan armada, termasuk yang menyumbang kepada perkhidmatan barisan hadapan,” katanya.

Nissan KICKS e-POWER dikuasakan teknologi e-POWER inovatif milik Nissan.

Jentera ini dipacu 100 peratus oleh motor elektrik yang memberikan tork segera, pecutan lancar dan prestasi responsif.

Berbeza dengan sistem hibrid konvensional, enjin petrol pada KICKS e-POWER berfungsi semata-mata untuk menjana elektrik ke bateri.

Ini bermakna tiada keperluan infrastruktur pengecasan luaran, di samping mengekalkan kemudahan mengisi minyak seperti biasa.

Ujian dua bulan ini akan menjadi penanda aras penting bagi PDRM dalam menilai potensi kenderaan elektrifikasi untuk kegunaan operasi harian.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here