
Mforce Bike Holdings Sdn Bhd (Mforce) menyerahkan enam unit motosikal membabitkan tiga model kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalani program Proof of Concept (PoC) selama tiga bulan.
Penyerahan itu membabitkan dua unit bagi setiap model iaitu CFMOTO 1250TR-G, Brixton K750GT dan Moto Morini X-Cape 1200 dalam satu majlis yang berlangsung di ibu pejabat syarikat itu.
Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad berkata, maklum balas yang diperoleh sepanjang tempoh penilaian itu penting bagi membantu syarikat mengenal pasti ruang penambahbaikan serta penyesuaian yang diperlukan bagi setiap model.
“Program ini memberi peluang kepada kami memahami dengan lebih dekat keperluan anggota yang menggunakan motosikal dalam menjalankan tugas, selain mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengguna,” katanya.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri Pengarah JSPT PDRM, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali serta wakil Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM.
Program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada JSPT menguji dan menilai kesesuaian setiap model berdasarkan keperluan operasi serta penugasan anggota polis, khususnya dari aspek pengendalian, keselesaan tunggangan dan fungsi kelengkapan.
Menerusi penilaian itu, CFMOTO 1250TR-G dan Brixton K750GT diketengahkan sebagai motosikal pengiring berkuasa tinggi, manakala Moto Morini X-Cape 1200 menawarkan platform motosikal dwi kegunaan untuk turut dinilai dalam persekitaran operasi sebenar.
Hasil penilaian sepanjang tiga bulan itu akan menjadi rujukan bersama dalam menentukan hala tuju dan tindakan susulan projek berkenaan, sekali gus membantu Mforce membangunkan penyelesaian mobiliti yang lebih bersesuaian dengan keperluan agensi penguatkuasaan.





























