
Mforce Bike Holdings Sdn Bhd mengumumkan pemindahan pejabat urusan dan pusat servis Mforce Kuala Lumpur ke premis baharu yang lebih luas dan lengkap di Jalan Segambut Tengah, dekat Kuala Lumpur.
Langkah itu bertujuan meningkatkan kapasiti perkhidmatan selepas jualan berikutan pertambahan jumlah pemilik motosikal rangkaian jenama Mforce di negara ini.
Menurut kenyataan syarikat itu, pusat servis sedia ada akan ditutup sementara bermula 12 hingga 22 Oktober 2026 bagi memberi laluan kepada proses pemindahan, manakala premis baharu dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada 23 Oktober ini.

Fasiliti baharu berkeluasan keseluruhan 77,000 kaki persegi itu bakal menempatkan lebih 20 juruteknik bertauliah bersama kemudahan penyelenggaraan yang dipertingkatkan.
Operasi di lokasi baharu itu dijangka dapat mengurangkan masa menunggu pelanggan serta meningkatkan kecekapan kerja penyelenggaraan dan pembaikan motosikal, sekali gus menjadikannya pusat servis motosikal terbesar di Malaysia berdasarkan keluasan.
Direka sebagai pusat sehenti, fasiliti baharu itu menawarkan pelbagai kemudahan termasuk ruang pameran Mforce Gallery dengan 16 susun atur menampilkan pelbagai jenama di bawah rangkaian Mforce.

Kemudahan lain termasuk :
- ruang menunggu pelanggan yang luas
- CR Cafe
- restoran
- pusat alat ganti
- gudang penyimpanan alat ganti
Pusat itu juga dilengkapi Motorcycle Inspection Test Bench bernilai RM1.5 juta yang membolehkan pemeriksaan menyeluruh terhadap keadaan dan aspek keselamatan motosikal termasuk sistem brek, pencahayaan serta penjajaran badan.
Selain itu, pelanggan turut boleh menggunakan kemudahan surau dan tandas, selain mengunjungi ruang pameran serta jualan produk LS2 dan Mforce Oil.

Sepanjang tempoh penutupan sementara, bekalan alat ganti tidak terjejas dan pelanggan masih boleh membuat pembelian terus dari Mforce Parts Sdn Bhd menerusi talian 012-485 0133 dengan penghantaran PERCUMA untuk kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.
Alamat baharu Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce Kuala Lumpur:
- 46 & 48, Jalan Segambut Tengah, Taman Segambut, 51200 Kuala Lumpur.
Tarikh penting:
- Penutupan sementara: 12 hingga 22 Oktober 2026
- Operasi penuh di lokasi baharu: 23 Oktober 2026
































