Utama Berita Automotif MForce Bike sah bawa masuk moped 150cc tahun depan

MForce Bike sah bawa masuk moped 150cc tahun depan

6

Pasaran motosikal moped di Malaysia bakal menyaksikan kehadiran pesaing baharu apabila MForce Bike Holdings Sdn Bhd mengesahkan perancangan untuk membawa masuk sebuah moped 150cc hasil kerjasama strategik dengan jenama China, LETBE.

Pendedahan eksklusif itu dibuat kepada wakil barisan media automotif Malaysia yang kini berada di China atas jemputan MForce Bike Holdings bagi melihat secara dekat barisan model baharu yang bakal menjengah pasaran tempatan tidak lama lagi.

Moped baharu yang bakal mencabar dominasi model popular seperti Yamaha Y15ZR dan Modenas Z15GT itu dijangka tiba di pasaran Malaysia sekitar suku kedua atau ketiga tahun hadapan. 

Meskipun memegang status moped, MForce Bike tidak berkompromi dari segi penawaran kelengkapan dan ciri keselamatan yang mana ia bakal ditawarkan dengan meter TFT, lampu LED bersama DRL serta sistem ABS dwi-saluran dan tangki bahan api 7.5 liter.

Jentera berkenaan bakal menggunakan enjin 150cc berkuasa kira-kira 12kW dan menggunakan transmisi klac automatik empat atau lima kelajuan.
 

Faktor julat harga dijangka menjadi senjata utama moped 150cc pertama MForce Bike itu yang mana difahamkan ia akan ditawarkan pada harga kompetitif di bawah RM8,000.

Penawaran harga mampu milik bersama padanan ciri keselamatan premium seperti ABS dwi-saluran dijangka mampu memberi tekanan kepada pesaing terdekat dalam segmen moped tempatan sebaik sahaja ia dilancarkan secara rasmi kelak.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here