
Mitsubishi Motors North America (MMNA) mengumumkan kemunculan semulanya di pameran SEMA Show 2026 yang berlangsung di Las Vegas pada 3 hingga 6 November depan.
Kemunculan ini turut menandakan penyertaan pertama jenama itu dalam acara automotif aftermarket terbesar dunia sejak 2012.
Menjadi tarikan utama di reruai Mitsubishi ialah kemunculan sulung global Mitsubishi Outlander Diamond Trail Edition 2028, yang disifatkan sebagai varian Outlander paling lasak dan paling berorientasikan pengembaraan pernah ditawarkan untuk pasaran Amerika Utara.
Selain model produksi tersebut, Mitsubishi turut mempamerkan lima lagi kenderaan termasuk beberapa model konsep yang diinspirasikan daripada warisan off-road jenama itu.
Outlander paling lasak pernah dihasilkan
Outlander Diamond Trail Edition dibangunkan sebagai sebahagian daripada pelan perniagaan jangka panjang Momentum 2030, yang memberi fokus kepada model berorientasikan pengembaraan dan keupayaan pemanduan luar jalan.
Berasaskan Outlander generasi baharu, model ini menerima pelbagai penambahbaikan antaranya:
- Mod pemanduan baharu Rock Mode
- Tayar all-terrain khas
- Rekaan bampar baharu dengan sudut pendekatan dan pelepasan yang lebih baik
- Overfender lebih agresif
- Rim aloi hitam 18 inci
- Rel bumbung dinaik taraf untuk pemasangan aksesori pengembaraan
Sistem pacuan semua roda Super All-Wheel Control (S-AWC) turut dipertingkat dengan fungsi Rock Mode yang membantu meningkatkan cengkaman di permukaan berbatu dan laluan mencabar.
Turut disediakan ialah paparan khas yang memaparkan sudut stereng, tahap gelinciran tayar serta campur tangan sistem kawalan cengkaman secara masa nyata.
Kabin mesra aktiviti luar
Di bahagian dalaman, Outlander Diamond Trail Edition menerima kemasan tempat duduk baharu berwarna kelabu gelap dengan jahitan khaki yang direka untuk menangkis air serta lebih mudah dibersihkan.
Tema warna gelap diteruskan menerusi penggunaan kemasan hitam kusam, krom gelap dan satin gelap bagi mewujudkan suasana yang lebih lasak dan premium.
Model ini juga memperkenalkan warna baharu Trail Green Metallic, yang diinspirasikan daripada tona alam semula jadi dan boleh dipadankan dengan bumbung putih dua tona.
Tiga versi dipamerkan di SEMA
Mitsubishi akan membawa tiga versi Outlander Diamond Trail Edition ke SEMA 2026:
- Versi standard lengkap dengan aksesori tulen Mitsubishi dan kotak simpanan bumbung Thule.
- Versi overlanding sederhana, dipasang tayar BF Goodrich, rak bumbung Thule, dua basikal gunung Specialized, kit peninggian suspensi serta treler khas yang dipadankan warna badan.
- Versi paling ekstrem, menggunakan rim Method Race Wheels, tayar BF Goodrich All-Terrain, kit peninggian suspensi 2.5 inci, khemah bumbung Thule, papan traksi dan lampu tambahan untuk pengembaraan lasak.





























