Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Perak melalui Bahagian Penguatkuasa mengeluarkan sebanyak 24 notis saman JPJ (P) 22 dalam Operasi Khas Institut Memandu (Ops OKIM) sekitar daerah Kinta dan Kampar pada Isnin.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketidakpatuhan dalam kalangan pengurusan serta tenaga pengajar, terutamanya membabitkan pemegang Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992.
“Selain itu, 14 Notis Larangan Penggunaan kenderaan Motor (P.G. 1) telah dikeluarkan atas kesalahan teknikal kenderaan Institusi Memandu di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Pihak Institusi Memandu diingatkan untuk sentiasa mematuhi semua peraturan yang ditetapkan serta memberi perkhidmatan terbaik kepada calon belajar memandu bagi melahirkan pemandu yang kompeten jalan raya,” jelasnya.
Operasi itu melibatkan kekuatan seramai 28 pegawai dan anggota penguat kuasa bagi memeriksa tahap pematuhan undang-undang di premis-premis latihan memandu.
Pihak JPJ Negeri Perak menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan tertumpu ini bukanlah bertujuan mencari kesalahan semata-mata, sebaliknya memastikan integriti serta kualiti latihan memandu sentiasa terpelihara demi melahirkan generasi pemandu jalan raya yang berhemah dan kompeten.
Operasi bersepadu membabitkan institusi latihan memandu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh daerah di negeri Perak bagi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil mudah aspek keselamatan latihan pemanduan.
Bagi memastikan ketelusan dan pematuhan undang-undang jalan raya terus terpelihara, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan salah laku trafik atau perkhidmatan boleh menyalurkan maklumat lengkap melalui saluran rasmi aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ.