Utama Berita Automotif Pemandu lori simen cuba himpit JPJ dan lari ditahan di Melaka

Pemandu lori simen cuba himpit JPJ dan lari ditahan di Melaka

20

Tindakan nekad seorang pemandu lori simen yang mengabaikan arahan berhenti dan cuba ‘menghimpit’ kenderaan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berakhir ditahan sekitar Dataran Klebang, Melaka pada 6 Oktober lalu. 

Menurut kenyataan JPJ Negeri Melaka pada Selasa, pemandu lori berkenaan meneruskan perjalanan ke kawasan kilang simen selepas mengabaikan arahan berhenti sebanyak tiga kali oleh penguatkuasa melalui pembesar suara kenderaan.

“Siren dan lampu amaran turut diaktifkan, namun lori berkenaan terus bergerak.

“Pemandu berkenaan memandu secara agresif dan berbahaya serta turut dipercayai membuang barang dan peralatan terlarang miliknya ketika hendak melarikan diri,” jelasnya.
 
Tambahnya, pemandu terbabit berjaya ditahan di kawasan kilang simen dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut termasuk ujian urin dan hasil ujian didapati positif ganja.
 
“Berdasarkan maklumat keputusan kes yang diterima tiga hari selepas kejadian, pemandu berkenaan telah didakwa di Mahkamah Majistret pada 9 Oktober 2026 dan didapati bersalah atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta didenda RM2,000,” menurut kenyataan.
 
Pihak JPJ mengeluarkan peringatan tegas kepada semua pengguna jalan raya dan pemandu kenderaan berat agar mematuhi arahan berhenti yang dikeluarkan oleh anggota penguat kuasa.
 
Sebarang tindakan mengelak pemeriksaan bukan sahaja membahayakan nyawa anggota dan pengguna jalan raya lain, malah berdepan tindakan perundangan yang berat.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here