
Gergasi automotif Jepun, Toyota dilaporkan bakal memulakan pengeluaran Corolla generasi ke-13 di China bermula tahun 2028.
Menurut laporan Nikkei Asia, pengeluaran Corolla baharu itu akan dimulakan menerusi FAW Toyota iaitu syarikat usahasama antara Toyota dan pengeluar kenderaan China, FAW Group yang sudah pun mengeluarkan beberapa model Toyota untuk pasaran tempatan.
Corolla baharu itu dijangka menggunakan platform fleksibel yang menyokong pelbagai jenis rangkaian kuasa merangkumi enjin petrol konvensional, hibrid, plug in hibrid (PHEV), elektrik bateri (BEV) dan berpotensi untuk turut menyokong teknologi sel bahan api hidrogen.
Pendekatan tersebut membolehkan Toyota menyesuaikan varian Corolla mengikut keperluan pasaran yang berbeza, berbanding komited sepenuhnya kepada kuasa elektrik seperti yang dilakukan oleh sesetengah pengeluar kenderaan di beberapa wilayah lain.
Toyota sebenarnya sudah menggunakan variasi platform fleksibel tersebut untuk beberapa model lain, termasuk di bawah jenama mewah Lexus.
Dengan memulakan pembinaan Corolla baharu di China, Toyota dijangka dapat mengurangkan kos pengeluaran di samping mempercepatkan proses pembangunan dan skala pengeluaran.
Selain kenderaan elektrik dengan jarak pemanduan lebih jauh, Toyota turut merancang untuk membina EV julat lanjutan di bawah jenama Lexus di China bermula tahun hadapan.
Toyota pertama kali mempamerkan Corolla Concept generasi baharu di Japan Mobility Show hampir setahun yang lalu.
Selain versi elektrik penuh, Ketua Pegawai Eksekutif Toyota, Koji Sato menegaskan bahawa kereta kompak itu akan kekal menjadi kenderaan untuk semua dengan kepelbagaian pilihan rangkaian kuasa.
“Sama ada ia sebuah EV bateri, plug in hibrid, hibrid atau kenderaan enjin pembakaran dalaman – apa jua sumber kuasanya, mari kita bina kereta yang tampan dan mahu dipandu oleh semua orang!,” kata beliau.
Rekabentuk & Spesifikasi Teknikal
Setakat ini, Toyota masih belum mendedahkan sebarang perincian spesifikasi bateri atau rangkaian kuasa secara rasmi.
Namun, Corolla generasi baharu itu dijangka mengekalkan bahasa reka bentuk yang hampir sama dengan model konsep menerusi garisan aerodinamik yang tajam dan tirus seakan-akan sebuah kereta sukan.
Selain lencana “COROLLA” yang besar di bahagian belakang, rupa paras baharu ini hampir tidak menyerupai rekaan Corolla tradisional.
Dalam satu wawancara eksklusif bersama media Jepun, NHK, Akio Toyoda memberi amaran bahawa syarikat kini terpaksa beradaptasi, atau gagal untuk bertahan berdepan saingan sengit dan arus teknologi baharu dari China.
Siaran khas tersebut turut menampilkan paparan di sebalik tabir pusat pembangunan rahsia Corolla generasi baharu dengan beberapa gaya badan konsep termasuk sedan, hatchback, crossover dan model prestasi GR yang dikaburkan.
Jangkaan spesifikasi :
- Toyota Corolla EV: Dijangka ditawarkan dalam konfigurasi motor tunggal dan dwi motor dengan jarak pemanduan sekurang-kurangnya 400 km.
- Toyota Corolla Hybrid: Dilaporkan akan menggunakan enjin 1.5-liter empat-silinder baharu yang dipadankan dengan motor elektrik. Jurutera Toyota memberitahu portal Car and Driver bahawa sistem itu bakal menghamburkan kuasa sekitar 134hp, di samping 10-20 peratus lebih cekap tenaga berbanding model Corolla sedia ada.





























