Utama Berita Automotif Toyota Raize Z Powerful, varian baharu untuk Jepun, ada turbo dan hibrid

Toyota Raize Z Powerful, varian baharu untuk Jepun, ada turbo dan hibrid

3

Toyota Motor Corporation memperkenalkan Toyota Raize 2027 untuk pasaran Jepun yang menerima beberapa penambahbaikan dari segi kelengkapan, warna badan dan sistem keselamatan.

Model SUV kompak itu turut menerima varian khas baharu Z Powerful yang ditawarkan dalam pilihan rangkaian kuasa petrol dan hibrid.

Varian khas tersebut menampilkan penampilan lebih lasak menerusi penggunaan kemasan hitam pada beberapa bahagian luaran.

Toyota Raize Z Powerful tampil lebih garang

Varian khas Z Powerful dilengkapi perumah cermin sisi, pemegang pintu luaran dan antena sirip jerung dengan kemasan hitam.

Ia turut menggunakan rim aloi 17 inci berukuran 17x6J dengan kemasan potongan kilauan palsu dan cat hitam, dipadankan dengan tayar 195/60R17.

Toyota turut menawarkan aksesori pilihan Z Powerful yang terdiri daripada kemasan bonet, kemasan sudut bampar hadapan dan kemasan pintu sisi berwarna hitam.

Pakej tersebut turut merangkumi set kemasan bawah badan berwarna Gunmetallic yang terdiri daripada pelindung bawah hadapan, sisi dan belakang.

Sistem keselamatan Smart Assist dipertingkat

Semua varian Toyota Raize 2027 kini dilengkapi sistem keselamatan pencegahan Smart Assist sebagai kelengkapan standard dengan fungsi pengesanan yang dipertingkat.

Penambahan fungsi baharu merangkumi:

  • Mengesan kenderaan dari arah bertentangan yang bergerak terus ketika kenderaan membelok ke kanan di persimpangan.
  • Mengesan pejalan kaki yang melintas dari arah bertentangan ketika kenderaan membelok ke kiri atau kanan.

Warna badan dan kelengkapan baharu

Toyota turut memperkenalkan pilihan warna badan baharu berkonsepkan warna bumi (earth colours).

Pilihan warna satu tona baharu ialah Forest Khaki Metallic, Grayish Olive Metallic, Lake Blue Metallic dan Chrome Gray Metallic.

Bagi pilihan dua tona, Toyota menawarkan gabungan Black Mica Metallic dengan Forest Khaki Metallic, Grayish Olive Metallic atau Lake Blue Metallic.

Pilihan dua tona ini ditawarkan sebagai kelengkapan pilihan untuk varian Z.

Beberapa kelengkapan yang sebelum ini ditawarkan secara berasingan turut dijadikan standard, termasuk:

  • Kamera undur dan suis kawalan audio serta bebas tangan pada stereng untuk semua varian.
  • Pemanas kerusi pemandu dan penumpang hadapan bagi varian G dan X pacuan dua roda (2WD).
  • Fungsi lampu utama yang kekal menyala untuk tempoh tertentu selepas enjin dimatikan bagi model petrol.

Toyota turut menggantikan port USB pengecasan belakang daripada Type-A kepada Type-C untuk semua varian.

Selain itu, kemasan dalaman berwarna perak digantikan dengan kemasan Gunmetallic, manakala reka bentuk meter turut diperbaharui.

Pilihan enjin petrol dan hibrid

Toyota Raize ditawarkan dengan tiga pilihan rangkaian kuasa, iaitu enjin petrol 1.2 liter, enjin petrol turbo 1.0 liter dan sistem hibrid 1.2 liter.

Varian petrol 1.2 liter menggunakan enjin WA-VE tiga silinder berkapasiti 1,196cc yang menghasilkan kuasa 87PS pada 6,000rpm dan tork 113Nm pada 4,500rpm.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT bersama fungsi 7-speed Sequential Shift dan tangki bahan api berkapasiti 36 liter.

Bagi model petrol 1.0 liter turbo pacuan empat roda (4WD), ia menggunakan enjin 1KR-VET tiga silinder berkapasiti 996cc dengan pengecas turbo dan intercooler.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa 98PS pada 6,000rpm serta tork 140Nm pada 2,400 hingga 4,000rpm.

Rangkaian kuasa ini turut menggunakan transmisi CVT dengan fungsi 7-speed Sequential Shift dan tangki bahan api 36 liter.

Sementara itu, sistem hibrid menggabungkan enjin WA-VEX tiga silinder 1,196cc yang menghasilkan kuasa 82PS pada 5,600rpm dan tork 105Nm pada 3,200 hingga 5,200rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan motor elektrik E1A yang menghasilkan kuasa 106PS dan tork 170Nm, selain bateri ion litium berkapasiti 4.3Ah.

Sistem hibrid ini menggunakan transmisi CVT dengan gear pengurangan serta tangki bahan api berkapasiti 33 liter.

Penggunaan bahan api Toyota Raize

Berdasarkan kitaran ujian WLTC, penggunaan bahan api bagi setiap rangkaian kuasa adalah seperti berikut:

  • Petrol 1.2L 2WD: 21.8 km/L (4.59 L/100 km).
  • Petrol 1.0L Turbo 4WD: 17.5 km/L (5.71 L/100 km).
  • Hibrid 1.2L 2WD: 28.7 km/L (3.48 L/100 km).

Harga Toyota Raize 2027 di Jepun

Toyota Raize ditawarkan dalam varian X, G, Z dan Z Powerful dengan harga bermula ¥1,897,500 (RM48,866) hingga ¥2,615,800 (RM67,302) di Jepun.

Berikut ialah senarai harga mengikut varian dan rangkaian kuasa:

Z Powerful

  • Petrol 1.2L 2WD: ¥2,286,900 (RM58,853).
  • Petrol 1.0L Turbo 4WD: ¥2,546,500 (RM65,520).
  • Hibrid 1.2L 2WD: ¥2,615,800 (RM67,302).

Z

  • Petrol 1.2L 2WD: ¥2,231,900 (RM57,439).
  • Petrol 1.0L Turbo 4WD: ¥2,491,500 (RM64,032).
  • Hibrid 1.2L 2WD: ¥2,560,800 (RM65,813).

G

  • Petrol 1.2L 2WD: ¥2,053,700 (RM52,781).
  • Petrol 1.0L Turbo 4WD: ¥2,313,300 (RM59,374).
  • Hibrid 1.2L 2WD: ¥2,399,100 (RM61,580).

X

  • Petrol 1.2L 2WD: ¥1,897,500 (RM48,866).
  • Petrol 1.0L Turbo 4WD: ¥2,157,100 (RM55,458).

Toyota Raize Z Powerful

Toyota Raize 2027 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here