
Pengedar peralatan prestasi rasmi jenama Toyota di Malaysia, Wing Hin Motorsport hari ini melancarkan barisan alat ganti aftermarket jenama T’Selection ke pasaran tempatan.
Pelancaran berkenaan diadakan di MAEPS Serdang sempena Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung bermula hari ini hingga 4 Oktober.

T’Selection adalah jenama dibangunkan TCD Asia, subsidiari kepada Toyota Customizing & Development yang bernaung di bawah Kumpulan Toyota.
Barisan alat ganti itu direka khusus untuk kenderaan yang tidak lagi dilindungi waranti pengeluar.
Wing Hin bukan sahaja memperoleh hak pengedaran T’Selection di Malaysia, malah turut diberikan hak pengedaran global bagi jenama tersebut.
Menurut Wing Hin, barisan alat ganti T’Selection itu dikilangkan dengan memenuhi standard kualiti, perlindungan dan prestasi yang ketat, selain menerima kelulusan SIRIM di Malaysia.




Antara produk ditawarkan termasuk :
- minyak enjin sintetik penuh dan separa sintetik
- penapis minyak enjin
- penapis udara
- bendalir brek
- cecair penyejuk enjin
- pembersih penyuntik bahan api
- cecair pembersih cermin hadapan
- pelbagai produk penyelenggaraan automotif lain
Pengerusi Kumpulan Syarikat Wing Hin, Loh Tuck Sum berkata, pelantikan sebagai Pengedar Global T’Selection adalah pencapaian penting dalam perjalanan 52 tahun syarikat itu dalam industri automotif negara.
“Kami amat berbesar hati dilantik sebagai Pengedar Global bagi T’Selection dan menghargai kepercayaan diberikan TCD Asia.
“Ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan 52 tahun Kumpulan Syarikat Wing Hin dalam industri automotif Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, T’Selection berhasrat menyediakan akses lebih baik kepada pemilik kenderaan untuk mendapatkan produk pasaran selepas jualan yang berkualiti bagi tujuan penyelenggaraan berterusan walaupun tidak lagi dilindungi waranti pengeluar.

Sementara itu, Presiden TCD Asia, Hiromu Ishizawa berkata, kedua-dua pihak berkongsi falsafah sama dalam memastikan kepercayaan dan kepuasan pelanggan menjadi teras kemajuan perniagaan.
“Baik TCD Asia mahupun Kumpulan Wing Hin berkongsi falsafah yang sama – bahawa kepercayaan dan kepuasan pelanggan harus memacu kemajuan perniagaan.
“Bagi mencapai matlamat ini, kedua-dua produk dan perkhidmatan mestilah berkualiti tinggi, demi memelihara kepentingan pelanggan,” katanya.
































