
Motosikal berkuasa tinggi ZXMoto 500RR kini mula tiba di pengedar sah seluruh negara dengan penghantaran pertama kepada pelanggan bermula minggu ini.
Menurut ZXMoto Malaysia, kumpulan pertama unit model tersebut sedang diagihkan secara berperingkat ke semua pengedar sah, manakala dua lagi model iaitu 500F dan 820RR dijangka memasuki pasaran tempatan menjelang akhir Oktober.
Pelanggan yang membuat tempahan boleh menghubungi pengedar masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai ketibaan unit dan urusan penyerahan.
Ditawarkan pada harga RM29,988 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran, 500RR adalah versi paling sporty daripada platform empat silinder 470cc ZXMoto yang diperkenalkan di Malaysia.
Model itu dikuasakan enjin 470cc penyejukan cecair, DOHC empat silinder sebaris yang menghasilkan 84 kuasa kuda (hp) pada 13,500rpm dan tork 46Nm pada 11,500rpm, dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, klac slipper dan penukar gear pantas dua arah.
Dari segi kelengkapan, ia dilengkapi fork terbalik 41mm di hadapan, monoshock di belakang serta peredam stereng, manakala sistem brek menggunakan dwi cakera hadapan 300mm dengan kaliper empat omboh dan cakera belakang 220mm, termasuk ABS dwi saluran.

Sementara itu, model naked 500F yang ditawarkan pada harga RM28,888 turut menggunakan enjin sama yang menghasilkan 73.4hp pada 11,000rpm dan tork 48Nm pada 9,500rpm.
Model berkenaan dilengkapi fork terbalik hadapan, brek dwi cakera hadapan, ABS dwi saluran dan kawalan cengkaman, dengan tangki bahan api 15.5 liter, ketinggian pelana 795mm dan berat 175kg.
Bagi model flagship 820RR pula, ia ditawarkan pada harga RM39,888 dan dikuasakan enjin tiga silinder 818.8cc yang mampu menghasilkan 135hp pada 12,000rpm dan tork 80Nm pada 9,500rpm.
Jentera itu dilengkapi :
- transmisi enam kelajuan
- klac slipper
- penukar gear pantas dua arah
- sistem gantungan boleh laras sepenuhnya
- dwi cakera brek hadapan 320mm
Pakej elektroniknya merangkumi :
- mod tunggangan
- kawalan cengkaman
- ABS boleh ubah
- sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
- kawalan pelayaran
- operasi tanpa kunci
- ketersambungan Bluetooth
- paparan instrumen TFT.
Ketiga-tiga model berkenaan telah dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia pada 13 September lalu.
































