
Model baharu Lynk & Co 02 yang juga dikenali sebagai Lynk & Co 20 di pasaran domestik merekodkan tempahan sebanyak 14,663 unit dalam tempoh satu jam selepas pelancaran di China.
Hatchback itu menawarkan sistem pacuan elektrik 16-in-1 baharu bersama motor elektrik TZ184QY301. Ia menghasilkan kuasa puncak 245kW (329hp) dan tork 320Nm pada gandar belakang.
Model itu dilengkapi dengan dua pilihan bateri LFP iaitu 61.52 kWh dan 70 kWh dengan jarak tempuh antara 545 hingga 630 km (CLTC). Pengecasan bateri pula hanya mengambil masa 12 minit daripada 10 hingga 80 peratus.
Lynk & Co 02 didatangkan dengan lima pilihan varian pada harga mula CNY123,800 hingga CNY163,800 (RM75,457-RM99,837)yang mana penghantaran bermula bulan ini.
Kereta elektrik (EV) itu menampilkan bampar yang direka semula, pemegang pintu separuh tersembunyi, serta sensor LiDAR 192-garisan yang diletakkan pada bumbung.
Varian tertinggi Flying Edition dilengkapi dengan pakej Sport tambahan membabitkan spoiler belakang gentian karbon, pembahagi hadapan, diffuser belakang dan skirt sisi.
Ruang kabin pula menampilkan skrin hiburan 15.4-inci dan kelompok instrumen LCD 10.2-inci. Varian tertinggi Lynk & Co 02 dilengkapi pengecas telefon tanpa wayar 50W, tempat duduk sebahagiannya menerima kemasan baldu, 23 pembesar suara, peti sejuk terbina dalam 6.8 liter, serta pencahayaan persekitaran dinamik.




