
Kalau diperhatikan langkah ZXMoto sejak kebelakangan ini, nampaknya syarikat dari China itu seolah-olah mahu menguasai segenap segmen motosikal yang ada di muka bumi.
Kini, mereka tampil dengan satu lagi projek baharu yang mungkin tidak dijangka ramai iaitu sebuah skuter adventure.
Dikenali sebagai ZXMoto 250T ADV, model ini diperkenalkan sebagai prototaip semasa CIMA Motor 2026 di Chongqing, China. Pada pandangan pertama, ia kelihatan seperti sebuah skuter ADV biasa dengan rekaan agresif dan futuristik. Namun apa yang tersembunyi di sebalik panel badannya sebenarnya agak menarik.
250T ADV dikatakan menggunakan enjin parallel-twin 249 cc penyejukan cecair yang mampu menghasilkan sekitar 27 hingga 32 hp. Ini sesuatu yang jarang ditemui dalam segmen skuter 250 cc kerana kebanyakan pesaing masih menggunakan enjin silinder tunggal.
Lebih menarik, ZXMoto tidak meletakkan enjin tersebut pada lengan ayun belakang seperti skuter konvensional. Sebaliknya, enjin dipasang terus pada casis di bahagian tengah, sama seperti yang digunakan pada skuter maxi premium seperti Yamaha TMAX dan Honda X-ADV.
Susun atur ini membolehkan penggunaan lengan ayun aluminium berasingan serta penyerap hentak belakang tersendiri, sekali gus membantu mengurangkan berat tidak berspring dan berpotensi meningkatkan prestasi suspensi ketika melalui jalan tidak rata.
Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi CVT, manakala sistem pacuan akhir sama ada menggunakan tali sawat atau rantai masih dalam peringkat penilaian.
Jika spesifikasi yang dipamerkan ini kekal ke peringkat produksi, 250T ADV boleh dianggap antara skuter paling lengkap dalam kelasnya.
Antara kelengkapan yang disebut termasuk:
- Fork hadapan jenis USD
- Rim depan 15 inci, belakang 14 inci
- Brek cakera dengan angkup radial
- Kawalan cengkaman (traction control)
- ABS belakang yang boleh dinyahaktifkan
- Mod tunggangan
- Kawalan jelajah (cruise control)
- Paparan TFT
- Sistem keyless
- Cermin penghadang angin boleh laras
Untuk sebuah skuter 250 cc, senarai ini memang agak mengagumkan. Malah ada motosikal yang jauh lebih besar masih belum menawarkan sebahagian daripada ciri tersebut.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa 250T ADV masih lagi sebuah prototaip. ZXMoto juga difahamkan sedang menilai kemungkinan menggunakan enjin silinder tunggal pada versi produksi, yang tentunya akan menjadikan model ini kurang unik berbanding versi parallel-twin yang dipamerkan sekarang.
Buat masa ini, pelancaran di pasaran China disasarkan pada pertengahan 2027, manakala harga dan spesifikasi akhir masih belum didedahkan.
Apa yang pasti, ZXMoto nampaknya tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memperlahankan rentak. Selepas memasuki pelbagai segmen motosikal dalam tempoh singkat, kini mereka cuba mencuri perhatian dalam pasaran skuter adventure pula.
Persoalannya, adakah 250T ADV bakal menjadi pencabar serius dalam segmennya atau sekadar satu lagi projek berani yang menarik perhatian seketika? Kita tunggu dan lihat.







