
Model-model Hyundai N sememangnya terkenal dengan kit badan agresif, sentuhan merah yang menonjol serta imej sporty yang sukar untuk tidak diperhatikan.
Namun bukan semua peminat mahukan perhatian sebegitu.
Bagi pembeli yang mahukan prestasi Elantra N tanpa penampilan yang terlalu garang, Hyundai kini memperkenalkan Elantra N Monochrome Edition, iaitu versi khas dengan penampilan lebih bersahaja dan kemas.
Menariknya, walaupun Hyundai sudah melancarkan generasi baharu Elantra (Avante) di Korea Selatan, versi N masih menggunakan model generasi terdahulu.
Oleh itu, Monochrome Edition ini boleh dianggap seperti edisi khas penghujung hayat model sebelum kemunculan Elantra N generasi baharu yang dijangka diperkenalkan pada 2027.
Perubahan paling ketara adalah penyingkiran aksen merah yang menjadi identiti model Hyundai N sebelum ini dan digantikan dengan warna yang sepadan dengan badan kereta bagi menghasilkan penampilan yang lebih bersih dan matang.
Ia turut menerima rim aloi tempa baharu berwarna hitam, lengkap dengan angkup brek hitam. Bampar hadapan juga diberikan kemasan hitam tambahan di antara liang udara bagi menjadikan reka bentuknya lebih kemas dan tidak terlalu sarat.
Pilihan warna pula dihadkan kepada dua sahaja iaitu Abyss Black Pearl dan Performance Blue.
Hyundai menawarkan Monochrome Edition dalam dua varian iaitu Basic Trim dan Upper Trim.
Bagi varian Upper Trim, ia mendapat spoiler belakang gentian karbon baharu serta penutup cermin sisi daripada bahan yang sama. Walaupun lebih agresif berbanding Basic Trim, spoiler tersebut masih jauh lebih sederhana berbanding yang digunakan pada jentera perlumbaan Elantra N TCR.
Di bahagian dalam, suasana sporty dipertingkatkan menerusi penggunaan kemasan Alcantara pada tempat duduk, panel pintu, stereng dan perehat tangan tengah. Sentuhan jahitan biru muda kontras serta butang stereng berwarna hitam melengkapkan penampilan eksklusif model ini.
Walaupun tampil dengan imej baharu, Hyundai tidak melakukan sebarang perubahan pada aspek prestasi atau casis.
Kuasa masih dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 286 hp dan 392 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar (DCT) lapan kelajuan.
Menurut Hyundai, pendekatan monokrom ini bertujuan mengalihkan perhatian daripada warna kepada bentuk, proporsi, tekstur dan elemen prestasi kenderaan itu sendiri.
Naib Presiden dan Ketua Kumpulan Pengurusan N Hyundai, Joon Park, berkata model ini dihasilkan selepas syarikat mendengar permintaan pelanggan yang mahukan sebuah model berprestasi tinggi tetapi dengan imej yang lebih tenang dan tidak terlalu menonjol.
Ringkasnya, ia masih sebuah Elantra N tulen, tetapi dalam pakej yang lebih matang dan kurang mencuri perhatian.
Awal tahun ini, Presiden dan CEO Hyundai, Jose Munoz, mengumumkan rancangan untuk memperluaskan rangkaian model N dengan memperkenalkan siri baharu yang akan berada di antara model N Line dan N penuh.
Walaupun Monochrome Edition ini masih berada dalam keluarga N, ia mungkin memberi gambaran awal tentang hala tuju model-model “N Lite” yang dikhabarkan bakal diperkenalkan pada masa hadapan.
Buat masa ini, Hyundai Elantra N Monochrome Edition akan dilancarkan terlebih dahulu di Korea Selatan, Kanada dan Australia, sebelum diperluaskan ke pasaran global lain secara berperingkat.































