
Selepas sesi pratonton Ogos lalu, Hyundai kini mendedahkan sepenuhnya SUV Tucson generasi baharu di New York.
Ia menampilkan reka bentuk baharu yang diinspirasikan daripada falsafah Arf of Steel seperti Elantra.
Terdapat tiga pilihan rangkaian kuasa yang ditawarkan bergantung pasaran, iaitu versi petrol, hibrid serta plug-in hybrid.
Versi petrol menawarkan pilihan enjin 1.6 liter turbo atau enjin 2.0L aspirasi natural yang dipadankan dengan pilihan transmisi manual 6-kelajuan, DCT 7-kelajuan, automatik 6 atau 8-kelajuan.
Versi hibrid pula menampilkan enjin 1.6L turbo yang dipadankan dengan motor elektrik, kuasa antara 233-242 hp dan tork 380 Nm, bateri 1.49 kWh dan pecutan 0-96 km/j dalam 8.5 saat.
Sementara versi plug-in hybrid (PHEV) didatangkan dengan pek bateri 17.1 kWh, sistem pacuan AWD, kuasa sekitar 288 hp dan 350 Nm dan jarak pandu sifar emisi 81 km.
Dari segi luaran, Tucson disifatkan sebagai SUV paling berani dengan reka bentuk lebih ekstrem dan menyamai kereta konsep.
Ia menampilkan lampu bar depan, unit DRL menegak serta bampar yang agresif, sementara bahagian sisi pula menampilkan fender dan panel berbentuk petak.
Pendekatan radikal turut diguna pakai pada bahagian belakang dengan lampu bar dan bampar yang dramatik.
Menariknya, tidak seperti pasaran Eropah yang menerima versi jarak roda pendek (SWB), pasaran Amerika Utara, Korea dan Australia menerima versi jarak roda panjang (LWB) yang lebih panjang dan lebih tinggi.
Ruang kabin menempatkan skrin kluster digital nipis 9.9 inci, serta skrin tengah 12.9 inci (atau 17 inci) yang menggunakan sistem infotainmen Pleos Connect berasaskan Android Automotive.
Konsol tengah bertingkat pula menempatkan slot pengecas peranti pintar tanpa wayar untuk pemandu dan penumpang.
Selain itu terdapat juga sistem pencahayaan suasana, tempat duduk premium dan tuil penukaran gear pada kolum stereng.
Selain versi standard yang nampak lebih sopan, Hyundai Tucson boleh didapati dalam varian XRT dan XRT Pro yang lebih lasak, menampilkan ciri seperti tayar all-terrain, cangkuk penunda hadapan, sudut pendekatan/pelepasan yang lebih baik.
Hyundai Tucson baharu ini akan muncul di Korea Selatan menjelang akhir tahun ini manakala pasaran lain menyusul pada tahun hadapan.

































