
SUV generasi keempat, Hyundai Tucson facelift rasmi dilancarkan di Malaysia bersama Santa FE dan Staria.
Pasaran tempatan menerima empat pilihan varian dan buat pertama kalinya varian hibrid diperkenalkan di Malaysia. Berikut harga Tucson pasaran tempatan :
- Hyundai Tucson 2.0 Style : RM143,888
- Hyundai Tucson 1.6T Prime : RM164,888
- Hyundai Tucson 1.6T Prestige : RM186,888
- Hyundai Tucson HEV Prestige : RM197,888
Dari segi janakuasa, enjin 2.0 liter MPI aspirasi semula jadi menghasilkan kuasa 156PS dan tork 192Nm manakala 1.6 liter TGDi turbo menjana kuasa 180PS dan tork 265Nm dengan pacuan roda hadapan (FWD) dan semua roda (AWD).
Bagi enjin 1.6 liter turbo hibrid yang baharu di Malaysia, sistem ini menawarkan output 235PS dan tork 367Nm.
Tucson dengan enjin 2.0 liter NA dan 1.6 TGDi Hybrid dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan automatik manakala enjin 1.6 liter TGDi pula menggunakan transmisi 7-kelajuan DCT.
Tucson menampilkan reka bentuk baharu serta peningkatan ketara dari segi ruang dalaman, sambungan digital, dan prestasi enjin.
Antara pembaharuan yang ditampilkan adalah gril permata parametrik, DRL LED bersepadu, bampar belakang baharu dan grafik lampu belakang yang direka bentuk semula.
Sementara bahagian kabin kini menampilkan paparan digital melengkung panorama (dwiskrin 12.3-inci), konsol tengah terapung, panel pendingin hawa digital jenis sentuh bersaiz 6.6-inci dan pengesahan cap jari untuk tetapan pemanduan.
Hyundai Motor Malaysia menawarkan ganjaran eksklusif kepada 100 pelanggan pertama menerusi penyelenggaraan perkhidmatan percuma untuk lapan kali servis*, termasuk kos buruh dan alat ganti.
Selain itu, semua kenderaan baharu Hyundai didatangkan dengan waranti 8 tahun/160,000km dan caj buruh percuma sehingga empat kali ganda.