
Seorang pemuda kerugian RM1.6 juta apabila lima kenderaan mewah hangus terbakar akibat perbuatan khianat empat lelaki di Bandar Tropicana Aman, Saujana Putra, pagi semalam.
Difahamkan antara kereta yang musnah termasuk Nissan GTR R35, Honda Civic dan Golf GTI.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, kejadian itu turut menyebabkan bahagian hadapan rumah mangsa rosak akibat kebakaran.
Hasil siasatan awal mendapati pemilik kenderaan dan keluarga tidak berada di rumah tersebut.
“Siasatan mendapati empat suspek lelaki telah membakar kereta milik mangsa dengan kerugian dianggarkan RM1.6 juta.
“Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah beliau orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis.
Pihak berkuasa juga meminta individu yang mempunyai maklumat menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-31872222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
ARTIKEL LAIN