Utama Berita Automotif Percikan api dari bawah pek bateri, ini penjelasan Zeekr

Percikan api dari bawah pek bateri, ini penjelasan Zeekr

4

Zeekr mendakwa kereta elektrik (EV) 7X yang terbakar di stesen pengecasan Ningbo, China minggu lalu pernah terlibat dalam satu kemalangan dan tidak menjalani pemeriksaan di pusat servis rasmi jenama berkenaan. 

Menurut pihak syarikat, siasatan awal mendapati SUV berkenaan pernah terlibat dalam kemalangan serius sebelum ini dan tidak menghantar kenderaan untuk dibaik pulih di pusat servis sah Zeekr.

“Bagaimanapun punca kebakaran masih dalam siasatan,” jelasnya.

Pihak Zeekr turut mengeluarkan peringatan bahawa bateri kuasa, sistem voltan tinggi serta struktur badan kenderaan memerlukan pemeriksaan dan penilaian terperinci selepas terlibat dalam kemalangan.

Ini kerana terdapat risiko bahaya keselamatan sekiranya kenderaan tidak menjalani pemeriksaan dan pembaikan yang betul.

“Zeekr juga mengesyorkan agar rekod kemalangan dan pembaikan disemak terlebih dahulu apabila membeli EV terpakai. Pemeriksaan ke atas bateri kuasa serta pusat voltan tinggi amat penting bagi memastikan tahap keselamatan,” ujarnya. 

Dalam insiden pada Ahad lalu, sebuah Zeekr 7X terbakar ketika diletakkan berhampiran stesen pengecasan. Video berkenaan menunjukkan kenderaan terbabit tidak disambungkan ke wayar pengecas ketika kejadian.

Menerusi video itu, sebelum berlakunya percikan api ruang but hadapan berada dalam keadaan terbuka manakala beberapa penutup plastik telah ditanggalkan.

Detik Kebakaran:

  • Kenderaan mengeluarkan bunyi seakan letupan kecil secara tiba-tiba sebelum diselubungi asap tebal.
  • Percikan dan api marak mula keluar secara berulang kali dari bahagian bawah tempat pek bateri voltan tinggi ditempatkan.
  • Jabatan Bomba tempatan bertindak pantas memadamkan kebakaran, menyebabkan struktur utama kenderaan tidak musnah sepenuhnya.

Kejadian ini mendapat perhatian meluas kerana Zeekr amat prihatin terhadap rekod keselamatannya. Kali terakhir syarikat itu mengumumkan rekod pencapaian ‘sifar kebakaran spontan’ pada Mei 2024 apabila angka penyerahan kumulatif mencecah 240,000 unit.

Walaupun tiada lagi dakwaan rasmi sedemikian dibuat dalam tempoh dua tahun berikutnya, persepsi jenama berprestasi tinggi dan selamat itu kekal menjadi keutamaan pasaran Zeekr di peringkat global.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here