
Hanya disebabkan oleh kunci pin yang hilang pada sistem spoiler aktif, ia mampu mengakibatkan kebakaran pada supercar berenjin F1 Mercedes-AMG One.
Menurut laporan Motor1, dalam situasi terburuk keadaan ini mampu mengakibatkan masalah kebocoran bendalir hidraulik dan terbakar serta-merta apabila tersentuh komponen enjin yang panas.
Perkara ini membuatkan Mercedes terpaksa memanggil semula hampir semua unit AMG One berdasarkan pengumuman oleh pihak berkuasa Jerman Kraftfahrt-Bundesamt (KBA).
Kempen panggil semula ini melibatkan hampir 80 peratus daripada 275 unit yang dibina, dan kebanyakan unit berada di negara Jerman.
183 orang pemilik akan dihubungi oleh Mercedes-AMG untuk membuat temujanji bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Kesemua unit kenderaan yang terjejas itu diproduksikan antara 12 Disember 2022 hingga 9 Mei 2025.
Sebelum ini, berlaku kes kebakaran melibatkan dua unit Mercedes-AMG One, namun pihak KBA tidak mengaitkan kes tersebut dengan kempen panggil semula yang baru dibuat ini.