
Pirelli bergabung tenaga dengan beberapa syarikat besar seperti Pyrum, Synthos dan BASF untuk inisiatif program kitaran “tayar-ke-tayar” di Eropah.
Keempat-empat syarikat tersebut akan membangunkan satu ekosistem industri yang direka untuk meningkatkan penggunaan bahan kitar semula daripada tayar tamat hayat dan sisa tayar.
Proses ini akan menggunakan tayar tamat hayat yang dikumpul dari seluruh Jerman, serta sisa tayar dari kilang Pirelli di Breuberg untuk menukarkannya menjadi bahan mentah sekunder seperti getah sintetik yang diperakui ISCC Plus.
Pensijilan ini membolehkan bahan kitaran ini digunakan semula dalam penghasilan tayar baharu Pirelli tanpa menjejaskan kualiti dan prestasi.
Dalam sistem ini, Pyrum akan menjalankan proses pirolisis (peleraian haba bersuhu tinggi tanpa oksiden) untuk menukarkan tayar tamat hayat kepada dua bahan mentah sekunder, iaitu karbon hitam terpulih (rCB) dan minyak pirolisis tayar (TPO).
rCB akan dinaik taraf dan digunakan semula dalam pengeluaran tayar Pirelli bagi menggantikan karbon hitam baharu, manakala TPO pula akan dihantar ke BASF untuk penghasilan bahan kimia seperti butadiene dan styrene.
Bahan kitaran ini juga digunakan oleh Synthos untuk menghasilkan getah sintetik berprestasi tinggi yang diperakui ISCC Plus sebelum kembali ke Pirelli untuk digunakan dalam proses pengeluaran.
Buat masa ini, ia merupakan satu operasi berskala kecil yang hanya melibatkan tayar daripada pasaran Jerman.
Ia juga membuktikan ekonomi kitaran sebenar memerlukan ekosistem industri yang melibatkan kepakaran berbeza dan masing-masing menyumbang kepada fasa transformasi dalam satu kitaran bahan yang sama.



































