Utama Berita Automotif Toyota tunjuk tiga varian Land Cruiser 70 Series versi jarak roda pendek

Toyota tunjuk tiga varian Land Cruiser 70 Series versi jarak roda pendek

5

Toyota Land Cruiser 70 Series sudah berada di pasaran sejak lebih 40 tahun dan masih lagi bertahan tanpa sebarang perubahan yang besar. 

Ia juga masih lagi dijual secara rasmi dalam pelbagai varian termasuklah versi jarak roda pendek (SWB). 

Dalam versi SWB terdapat tiga contoh yang dihasilkan oleh Toyota seperti yang diterangkan oleh ketua jurutera Land Cruiser, Masaya Uchiyama bersama pemandu Dakar Rally Takamoto Miura. 

Versi yang paling kerap dilihat ialah hardtop badan sempit yang dibina untuk kegunaan komersial, sementara versi kedua pula merupakan hardtop badan lebar dengan kelengkapan yang lebih moden seperti tingkap kuasa, upholsteri kulit dan skrin infohibur. 

Versi yang paling mencuri tumpuan ialah soft-top convertible di mana cermin depan boleh dilipat rata ke atas bonet enjin. 

Menurut Uchiyama, kebanyakan pengguna seperti penternak suka konfigurasi ini kerana ia membolehkan pekerja ladang melempar tali lasso terus dari kenderaan ketika bergerak. 

Varian ini juga dilengkapi struktur perlindungan terbalik (roll-over protection) dan bangku sisi di belakang. 

Jarak antara roda yang pendek, iaitu sekitar 2,310 mm memberikan keupayaan pengendalian yang luar biasa, dan menjadi pilihan utama pasukan polis bandar dan pekerja ladang. 

Bergantung kepada pasaran, Land Cruiser 70 Series didatangkan dengan pilihan enjin diesel enam silinder sebaris 4.2 liter menghasilkan 129 hp dengan transmisi 5-kelajuan, atau pilihan enjin petrol 4.0L V6 berkuasa 228 hp dengan transmisi automatik 6-kelajuan. 

Uchiyama turut mendedahkan kira-kira 90 peratus pengeluaran Land Cruiser 70 Series SWB dieksport ke Timur Tengah, manakala selebihnya ke wilayah Amerika Selatan dan Asia.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here