Syarikat Australia ini tawar pakej mewahkan penampilan Land Cruiser 76 Series

6

Sebuah syarikat dari Australia, PVS Automotive kini menawarkan pakej penyesuaian untuk para pemilik Land Cruiser klasik (lebih tepat lagi LC 70 Series) untuk mencantikkan kenderaan off-road mereka.

Unit contoh yang dipamerkan ini merupakan sebuah Land Cruiser 76 Series Wagon GXL (2025) yang memiliki jarak perbatuan cuma 128 km sahaja.

Antara ubahsuai yang dibuat pada bahagian luar termasuklah memadankan komponen Urnieta seperti bampar hadapan, tempat pemijak sisi tiub, rak bumbung, cagak storan sisi, pelindung tayar simpanan dan tangga di bahagian belakang.

Selain itu, terdapat juga snorkel dan penambahan fender lebar, diikuti dengan set rim tempa berwarna hitam.

Perubahan besar dibuat pada bahagian kabin, di mana ia kini dihiasi dengan kemasan Blue Alcantara yang lebih mewah, diikuti dengan jahitan kontras jingga dan aksen jingga yang lebih menyerlah.

Roda stereng asal digantikan dengan unit stereng Toyota Tunda lengkap dengan kemasan gentian karbon, sementara tempat duduk baris depan pula digantikan dengan sepasang Recaro Cross Sportster GK100.

Untuk peminat aktiviti luar, PVS turut memasang sistem laci belakang dan meja kecil yang dipasangkan pada pintu tailgate.

Tiada sebarang perubahan pada enjin diesel turbo 2.8 liter yang mampu menjana kuasa 201 hp dan 500 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda sepenuh masa.

Land Cruiser 76 Series yang telah siap diubahsuai ini dijual pada harga bermula dari AU$200,000 (RM543,422).

Harus diingat, harga jualan asas untuk sebuah Land Cruiser Wagon GXL bermula dari AU$84,935 (RM230,778).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here