
Nissan menghidupkan semula nama Sentra Spec-V menerusi sebuah kereta konsep yang dibangunkan untuk SEMA Show 2026 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Projek ini sebenarnya memperingati 35 tahun kemunculan Sentra SE-R di Amerika Utara.
Nissan turut membangunkannya sebagai penghormatan kepada komuniti peminat yang menjadikan model itu terkenal dalam dunia kereta import dan pengubahsuaian.
Enjin 2.0 liter turbo 300 hp
Sentra Spec-V Concept menggunakan enjin MR20DD turbo 2.0 liter yang menghasilkan 300 kuasa kuda pada roda (whp).
Enjin itu menggunakan nisbah mampatan 10:1, omboh JE dan rod penyambung Carrillo.
Komponen dalaman enjin turut menerima rawatan WPC dan rawatan kriogenik CTP.
Sistem pengecas turbo menggunakan Garrett G25-550, dipadankan dengan intercooler hadapan Garrett dan injap pelepas tekanan Turbosmart Vee Port Pro.
Sistem suntikan bahan api tambahan melalui port menggunakan manifold spacer khas daripada Jim Wolf Technologies, bersama penyuntik sekunder Bosch EV14 550 cc.
Pam bahan api dalam tangki pula menggunakan unit AEM 400 LPH.
Kuasa disalurkan melalui transmisi manual enam kelajuan NISMO Juke RS RS6F94R yang diubah suai.
Transmisi ini dilengkapi pembeza gelinciran terhad (limited-slip differential, LSD) jenis heliks.
Komponen rangkaian kuasa lain termasuk roda tenaga ringan Centerforce, kit klac FX350 dan sistem penukar gear pendek Hybrid Racing yang diubah suai.
Stud utama enjin dan kepala silinder menggunakan komponen ARP. Sistem ekzos pula garang dengan keluar di sisi badan.
Suspensi dan sistem brek
Sentra Spec-V Concept menggunakan set coilover NISMO Sentra versi khas untuk kegunaan litar.
Penyerap hentak hadapan dinaik taraf dengan takungan luaran. Tetapan redaman khusus untuk litar dan kadar spring yang lebih agresif turut digunakan.
Set bar penstabil NISMO Sentra turut dipasang bagi melengkapkan pengubahsuaian suspensi.
Sistem brek menggunakan penukaran komponen daripada R35 Nissan GT-R NISMO.
Bahagian hadapan dilengkapi angkup Brembo enam omboh dan cakera jenis full-floating serta cross-drilled berukuran 390 mm.
Bahagian belakang pula menggunakan angkup Brembo empat omboh dengan cakera full-floating dan cross-drilled berukuran 380 mm.
Rim, tayar dan luaran
Kereta konsep ini menggunakan rim tempa NISMO LM-RS1 bersaiz 19 x 9.5 inci, dipadankan dengan tayar Yokohama ADVAN NEOVA AD09 berukuran 265/35R19.
Nat roda tempa NISMO turut digunakan.
Bahagian luaran menerima kit badan lebar BOMEX, bonet khas dengan lubang pengudaraan serta salur masuk udara berfungsi dan spoiler belakang R35 GT-R NISMO.
Ruang kabin menampilkan tempat duduk hadapan Recaro daripada R35 GT-R NISMO, stereng NISMO, kemasan hitam dan palang khas untuk tali pinggang keselamatan
Kemasan badan menggunakan balutan Terminax.
Kredit foto: Nissan

































