
Kerajaan mengunjurkan subsidi petroleum yang ditanggung akan mencecah RM40 bilion tahun ini susulan krisis bekalan global yang melonjakkan harga minyak mentah dunia melebihi USD120 setong.
Kementerian Kewangan berkata perbelanjaan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) meningkat daripada kira-kira RM800 juta sebulan pada Januari dan Februari kepada hampir RM5 bilion sebulan pada Mac dan April.
Bagaimanapun, tanggungan subsidi itu menyederhana kepada kira-kira RM3 bilion sebulan bagi tempoh Jun hingga Ogos lalu.
“Dalam menghadapi situasi ini, kerajaan sudah mengambil pendekatan yang seimbang bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa menjejaskan kemampanan kewangan negara.
“Kerajaan sudah menyusun semula keutamaan perbelanjaan tahunan dengan memberi tumpuan kepada program yang berimpak tinggi kepada rakyat dan ekonomi.
“Penyusunan semula keutamaan perbelanjaan ini dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan operasi dan keutamaan setiap kementerian, khususnya bagi memastikan program berimpak tinggi serta perkhidmatan asas eperti pendidikan, kesihatan dan bantuan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Menurut Kementerian Kewangan, dalam masa yang sama kerajaan juga akan memperkukuhkan disiplin fiskal melalui kawalan perbelanjaan operasi, peningkatan kecekapan perbelanjaan awam serta pengurangan ketirisan dalam pelaksanaan program dan subsidi.
“Aktiviti penguatkuasaan juga dipertingkatkan bagi memastikan bantuan dan subsidi yang disediakan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, sekali gus mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan negara.
“Kerajaan akan terus mengimbangi keperluan melindungi rakyat daripada kenaikan harga bahan api dengan pengurusan perbelanjaan yang berhemat, supaya peningkatan subsidi dapat ditampung tanpa menjejaskan kemampanan fiskal negara,” jelasnya.




























