Utama Berita Automotif Krisis kos bahan api, kapal persiaran mewah turunkan penumpang di Kemboja

Krisis kos bahan api, kapal persiaran mewah turunkan penumpang di Kemboja

7

Impian penumpang untuk menikmati kehidupan mewah menetap di atas laut mengelilingi dunia terhenti apabila pelayaran kapal mewah Villa Vie Odyssey terpaksa dihentikan secara mendadak.

Bahkan, penumpang diberikan masa hanya lapan jam untuk mengosongkan kapal di Kemboja selepas pihak pengurusan gagal menanggung beban kos bahan api yang melonjak naik. 

Kapal persiaran mewah yang mengenakan bayaran bilik mencecah sehingga USD11,000 (RM44,700) sebulan itu akan menurunkan kesemua penumpang serta kru ke pusat penginapan sementara, susulan tekanan kewangan yang meruncing.

Pengendali kapal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Villa Vie Residences dalam kenyataan rasmi mendedahkan bahawa kos bahan api bulanan melonjak mendadak daripada USD1,800 (RM7,314) kepada USD8,000 (RM32,510) di beberapa kawasan di Asia.

Ia mewakili peningkatan mendadak sebanyak 344 peratus akibat ketegangan konflik geopolitik sejak perang Iran bermula 28 Februari lalu.

Sebelum krisis memuncak, pelayaran kediaman yang mampu memuatkan sehingga 650 penumpang itu menarik perhatian global selepas memulakan pengembaraan dua tahun mengelilingi dunia dari Belfast, Ireland Utara.

Ia lengkap dengan pelbagai kemudahan mewah bertaraf lima bintang termasuk pusat kecergasan dan spa, tiga restoran eksklusif dan lima bar.

Kapal mewah tersebut sepatutnya dijadualkan tiba di Pulau Phu Quoc, Vietnam, minggu ini sebelum meneruskan siri jelajah panjang merentasi India, Afrika Selatan, Brazil dan Australia serta dijadualkan berlabuh di Gibraltar menjelang Ogos 2030.

Bagaimanapun, peningkatan kos tenaga global memaksa syarikat mengambil langkah terdesak termasuk memperlahankan jadual perjalanan dan menghabiskan lebih banyak masa berlabuh di pelabuhan bagi menjimatkan bahan api, namun usaha tersebut tetap gagal menampung perbelanjaan operasi.

Pihak pengurusan menegaskan bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya memindahkan beban kenaikan kos yang melampau itu kepada pelanggan, sekali gus meletakkan model operasi semasa di bawah tekanan kewangan yang tidak mampan.

Berikutan krisis itu, syarikat pengurusan kini diberikan tempoh kritikal selama 60 hari untuk melakukan proses penstrukturan dan permodalan semula, walaupun pihak pengurusan mengakui tiada sebarang jaminan mutlak diberikan mengenai masa depan pelayaran mewah berkenaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here