
Nissan memperkenalkan Sentra 2026 serba baharu untuk pasaran Amerika Syarikat dan tampil dengan rekaan yang begitu menyerlah.
Model ini mengekalkan legasi lebih 40 tahun dan baru sahaja dinobatkan sebagai model Kompak Terbaik dalam kajian kualiti awal J.D. Power 2025 (U.S. Initial Quality Study).
Ia bakal berada di bilik pameran di A.S hujung tahun ini dengan empat pilihan varian iaitu S, SV, SR dan SL.
Rekaan Luaran Berani dan Sporti
Rekaan Sentra 2026 berpegang pada tiga prinsip utama, berani, bertenaga dan beremosi.
Sedan ini hadir dengan garis badan tajam serta karakter seimbang yang menonjolkan rupa lebih dinamik dan sofistikated.
Bahagian hadapan menampilkan gril V-motion generasi baharu dengan garisan yang bersambung terus ke lampu utama.
Lampu utama projektor LED direka lebih nipis, memberikan pencahayaan lebih terang serta sepadan dengan garis keseluruhan badan.
Lampu signatur LED pula kelihatan hitam apabila dimatikan yang memberikan kesan bergaya.
Sistem pencahayaan turut mempunyai corak sambutan animasi melibatkan lampu tinggi, rendah, isyarat membelok dan lampu signatur apabila kereta dibuka kunci.
Rekaan sisi menyerlah dengan permukaan badan kemas, bahu tajam dan fender yang sasa.
Setiap elemen luaran juga direka untuk fungsi aerodinamik, bentuk but dan fender belakang membantu kawalan aliran udara, bukaan roda dikecilkan, manakala cermin sisi berbentuk khas untuk kurangkan seretan.
Bahagian bawah badan dipasang dengan penutup lantai rata dan deflektor tayar untuk meningkatkan lagi kecekapan.
Tiga pilihan saiz rim tersedia iaitu 16, 17 atau 18 inci.
Pilihan warna merangkumi Imperial Bronze, Gun Metallic, Atlantic Gray Metallic, Super Black, Scarlet Ember, Aspen White dan Fresh Powder.
Empat warna turut boleh dipadankan dengan bumbung hitam iaitu Aspen White, Bluestone Pearl, Atlantic Gray dan Energetic Ember.
Kabin Premium dengan Teknologi Moden
Skrin bersambung 12.3 inci digabung dengan panel kawalan hawa sentuh menjadikan papan pemuka kemas dan moden.
Paparan maklumat hibur juga dua kali lebih terang berbanding model sebelumnya untuk bacaan lebih mudah dalam pelbagai keadaan cahaya.
Selain skrin digital, Sentra masih mengekalkan butang fizikal utama dan kawalan di stereng.
Tiga elemen segi empat pada papan pemuka, termasuk dua corong udara direka sebagai penghormatan kepada tiga corong bulat model sebelum ini.
Sentra juga menggunakan bahan sentuhan lembut pada pintu, meningkatkan lagi rasa selesa.
Kelengkapan untuk Nilai Terbaik
Semua varian Sentra didatangkan dengan skrin sentuh 12.3 inci bersama Android Auto dan Apple CarPlay.
Tiga port USB-C tersedia, manakala varian SV dan ke atas dilengkapi sambungan tanpa wayar untuk CarPlay dan Android Auto.
Varian asas dilengkapi sistem audio 4 pembesar suara, varian SV dengan 6 pembesar suara, manakala SL dan SR Premium menerima sistem audio Bose 8 pembesar suara yang menawarkan kualiti bunyi premium.
Ciri tambahan lain termasuk bumbung suria, pencahayaan suasana boleh laras 64 warna, stereng dan tempat duduk depan dengan pemanas, pengecas telefon tanpa wayar serta balutan TailorFit yang lembut disentuh.
Fungsi Praktikal Harian
Bahagian but direka dengan bukaan rendah dan bentuk optimum untuk memudahkan memuatkan barang besar seperti kereta sorong bayi atau beg golf.
Sistem kunci pintar Nissan Intelligent Key membolehkan pintu terbuka secara automatik apabila pemandu menghampiri, dan terkunci semula apabila meninggalkan kenderaan.
Sentra juga memperkenalkan fungsi myQ Universal Garage Door Opener yang membolehkan pemandu membuka, menutup dan menyemak status pintu garaj terus dari sistem maklumat hibur.
Varian SR Lebih Menyerlah
Varian SR terus mengekalkan identiti sporti dengan bampar depan unik, kemasan gelap pada gril V-motion, bampar belakang khas, skirt sisi hitam, spoiler belakang, rim aloi 18 inci dan pilihan bumbung dua tona.
Ia juga dilengkapi mod pemanduan Sport untuk tindak balas stereng lebih tajam, penukaran gear lebih agresif dan respon pendikit lebih bertenaga.
Varian SL Kembali Semula
Selepas lama tiada, varian SL kembali dengan tambahan ciri premium termasuk stereng dan fungsi pemanas, kawalan pendingin hawa dwi zon automatik, pencahayaan suasana, cermin pandang belakang auto malap dan bumbung suria.
Ia juga tampil berbeza dengan rim 17 inci serta kerusi TailorFit berjahitan tidak simetri.
Casis dan Dimensi
Sentra 2026 menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder NA berkuasa 149 hp dan 198Nm tork, dipadankan transmisi CVT Xtronic yang ditala semula untuk pecutan lebih semula jadi dan lancar.
Sistem suspensi menggunakan tetapan strut hadapan bebas dan pelbagai pautan belakang, manakala brek cakera belakang kini standard.
Ketegaran casis ditingkatkan sebanyak enam peratus berbanding model lama, menjadikan pengendalian lebih mantap dan kabin lebih senyap.
Stereng dengan penyerap dinamik baharu mengurangkan getaran jalan, manakala penyerap hentak yang dipertingkat menyerap hentakan lebih baik.
Dimensi Sentra 2026 kekal dengan panjang 4,646 mm, lebar 1,816 mm, tinggi 1,456 mm dan jarak roda 2,708 mm. Berat di antara 1,352 hingga 1,428 kg.
Sistem Keselamatan Lengkap
Semua varian didatangkan standard dengan pakej Nissan Safety Shield 360, termasuk:
- Brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki
- Amaran perlanggaran hadapan pintar
- Pencegahan terbabas lorong
- Bantuan lampu tinggi automatik
- Pengecaman papan tanda jalan
- Intervensi titik buta
- Amaran lintasan trafik belakang
- Pengesan keletihan pemandu
- Kamera pandang sekeliling pintar (Intelligent Around View Monitor) dengan pengesan objek bergerak
Intelligent Cruise Control kini standard untuk semua varian, manakala ProPILOT Assist ditawarkan pada SL dan pakej Premium SR untuk membantu kawalan brek, stereng dan pendikit dalam trafik berhenti-jalan.
Bantuan Kekal Lorong dengan Pengesanan Penunggang Basikal ditawarkan khusus pada varian SL dan SR Premium
Model ini juga dilengkapi 10 beg udara sebagai perlindungan menyeluruh.
Kredit gambar: Nissan