
Buat pertama kali dalam tempoh 22 tahun, Suzuki akhirnya mengumumkan kemas kini terhadap logo korporat ‘S’ yang ikonik itu.
Serentak dengan rekaan baharu itu, Suzuki turut sama melancarkan slogan korporat ‘By Your Side’ yang menggariskan mantera syarikat yang telah lama dipegang, iaitu memfokuskan kepada pelanggan.
Jika dulu logo S membawakan penampilan tiga dimensi, logo S baharu ini nampak lebih rata dan ia dilihat seakan sebuah bilet solid yang telah siap dimesin.
Selain itu, kemasan krom berkilat pada logo terdahulu telah digantikan dengan warna perak yang lebih terang.
Ia bukan sahaja nampak lebih moden, malah ia bertujuan untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Emblem baharu ini dijangka akan muncul pada model konsep yang akan dipamerkan pada Japan Mobility Show 2025.
Menurut Toshihiro Suzuki selaku Wakil Pengarah dan Pengerusi Suzuki, “Emblem baharu ini merangkumi komitmen jangka panjang Suzuki untuk mencipta produk yang lebih berharga dengan memberikan tumpuan kepada pelanggan, serta keazaman untuk menempuh cabaran baru pada masa depan.
“Di bawah slogan korporat By Your Side, kami akan terus melangkah bersama pelanggan kami dengan menawarkan mobiliti infrastruktur yang berkait rapat dengan kehidupan manusia, dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan.”