Suzuki Swift capai jualan global 10 juta unit!

7

Jualan Suzuki Swift di peringkat global telah mencecah sebanyak 10 juta unit pada Julai 2025.

Pencapaian luar biasa ini diraih dalam tempoh 20 tahun 8 bulan sejak kereta kompak ini pertama kali dilancarkan di Jepun pada November 2004.

Sejak diperkenalkan sebagai model strategik global, Suzuki Swift telah mengubah hala tuju pembuatan kereta Suzuki.

Model ini telah meraih pelbagai anugerah berprestij termasuk anugerah Kereta Terbaik Tahun Ini di Jepun dan di seluruh dunia.

Swift diiktiraf sebagai model utama syarikat yang sangat dihargai oleh pelanggan di serata dunia.

Daripada 10 juta unit yang terjual di seluruh dunia, sebanyak 60% datang dari India, 14% dari Eropah, 8% dari Jepun, dan 18% dari negara-negara lain.

Di India, Swift telah mencatatkan jualan sekitar 6 juta unit sejak dilancarkan pada 2005, menjadikannya peneraju dalam pasaran kereta kompak di negara tersebut.

Presiden Suzuki, Toshihiro Suzuki, berkata,

“Terima kasih kepada pelanggan kami di seluruh dunia yang telah memilih Swift, kami dengan bangganya mengumumkan bahawa jualan global terkumpulnya telah mencapai 10 juta unit.

Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan. Dilancarkan pada 2004 sebagai kereta kompak dengan piawaian global, Swift telah berkembang menjadi salah satu model utama Suzuki.

Ia juga merupakan model baharu pertama yang dihasilkan secara serentak di empat negara, menandakan pencapaian penting dalam pengembangan global kami.

Pasukan Suzuki akan terus bekerjasama untuk menghasilkan produk bernilai yang dapat menyokong mobiliti harian pelanggan di seluruh dunia.”

(Nota: Angka jualan termasuk Swift Sport dan Dzire, tetapi tidak termasuk model Swift (HT51/Ignis) yang dilancarkan di Jepun pada tahun 2000.)

Sejarah Perkembangan & Jualan Suzuki Swift

Sejarah Swift bermula dengan pelancaran generasi pertama di Jepun pada November 2004, diikuti oleh pengeluaran di Hungary pada Februari 2005, di India pada Mei 2005 dan di China pada Jun 2005.

Swift Sport generasi pertama dilancarkan di Jepun pada September 2005, dengan model MT pada Oktober 2005.

Pengeluaran kemudiannya diperluaskan ke Pakistan pada November 2009.

Generasi kedua Swift dilancarkan di Jepun pada September 2010, dengan versi Sport menyusul pada Disember 2011 (model CVT pada Januari 2012).

Generasi ketiga pula dilancarkan pada Januari 2017 dan Swift Sport generasi ketiga pada September 2017.

Pengeluaran di Ghana bermula pada September 2022, dan generasi keempat dilancarkan di Jepun pada Disember 2023 (model MT pada Januari 2024).

Di peringkat tempatan pula Naza Eastern Motors baru sahaja melancarkan Suzuki Swift Sport Final Edition.

Hatchback berprestasi ini dibuat dalam warna Pearl Super Black dan dihadkan kepada 30 unit. Harga yang ditawarkan ialah RM137,900 seunit.

Pencapaian Suzuki Jualan Swift

  • 1 Juta unit: Jun 2008
  • 2 Juta unit: Januari 2011
  • 3 Juta unit: Januari 2013
  • 4 Juta unit: Ogos 2014
  • 5 Juta unit: April 2016
  • 6 Juta unit: Februari 2018
  • 7 Juta unit: Oktober 2019
  • 8 Juta unit: Disember 2021
  • 9 Juta unit: Oktober 2023
  • 10 Juta unit: Julai 2025

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here