
Cubaan dua lelaki warga Indonesia menyelinap masuk ke negara ini melalui laluan haram gagal selepas bot pancung yang dinaiki mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Morib awal pagi Jumaat.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 pagi ketika pihaknya mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran yang mencurigakan.
Menurutnya, operasi itu dijalankan menerusi Op Khas Jalur Belakang hasil maklumat risikan dengan bantuan Area Control Centre (ACC) Klang.
“Kira-kira jam 12 tengah malam, ACC mengesan sebuah bot mencurigakan, bot ronda Maritim Malaysia kemudian diatur gerak ke lokasi dan mengarahkan bot itu berhenti, namun arahan tersebut tidak diendahkan.
“Sebaliknya, bot itu terus memecut sehingga berlaku aksi kejar-mengejar hampir 30 minit sebelum ia terkandas di kawasan bakau Morib,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kru ditemui di atas bot berkenaan.
“Bagaimanapun, hasil pencarian di kawasan sekitar membawa kepada penahanan dua lelaki warga Indonesia berusia 22 dan 33 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Kedua-duanya dipercayai cuba memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Bot dan kedua-dua suspek dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan jenayah serta kecemasan di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 bagi maklum balas segera,” katanya.